PBSM Pulau Pinang alami 80 peratus pengurangan sumbangan

Tunku Puteri Intan Safinaz mencuba MPV yang akan menjadi pengangkutan efektif kepada golongan memerlukan ketika pelancaran program Easy Transfer di Georgetown pada Selasa.
Tunku Puteri Intan Safinaz mencuba MPV yang akan menjadi pengangkutan efektif kepada golongan memerlukan ketika pelancaran program Easy Transfer di Georgetown pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Sumbangan orang ramai kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Pulau Pinang turun sebanyak 80 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

Penyelaras PBSM Pulau Pinang, B Jayadhurka berkata, penularan Covid-19 merupakan faktor utama usaha mengumpul dana tahunan PBSM terhenti, sekali gus menyebabkan dana menyusut.

Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai termasuk syarikat korporat supaya menyalurkan sumbangan untuk digunakan PBSM Pulau Pinang bagi membantu orang ramai.

"Sejak Mac tahun lalu, sumbangan orang ramai berkurangan sehingga 80 peratus dan aktiviti mengumpul dana tahunan PBSM juga terhenti.

"Kami berharap orang ramai termasuk syarikat korporat akan menyokong dengan membantu menyumbang dana bagi membolehkan kita membantu orang ramai yang memerlukan," katanya selepas majlis pelancaran program Easy Transfer di Pejabat PBSM Pulau Pinang di Jalan Grove di sini pada Selasa.

Program tersebut dilancarkan Pengerusi Kebangsaan PBSM, Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Jayadhurka berkata, berikutan itu, pihaknya terpaksa mengambil beberapa pendekatan bagi menambah dana.

"Kami menjalankan jualan barangan seperti pelitup muka, bekas air dan lain-lain secara dalam talian menerusi laman sesawang PBSM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai program tersebut, beliau berkata, Easy Transfer merupakan bantuan pengangkutan efektif kepada golongan memerlukan terutama mereka yang menggunakan kerusi roda.

"Setakat ini kita menerima sumbangan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) untuk program Easy Transfer ini daripada seorang individu. Ia bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.

"Ia diubah suai untuk memudahkan mereka menggunakan kerusi roda ini. Buat masa ini, kita hanya mengenakan caj minimum untuk perkhidmatan ini bermula jam 9 pagi hingga 6 petang," katanya.

Tambah beliau, bagi mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan Easy Transfer boleh menghubungi pejabat BSMM di talian 04-8275678.