TTP tambah baik sistem pendidikan Pahang dalam tempoh 10 tahun

Wan Rosdy (tengah) melancarkan Majlis TPP dan penyampaian insentif kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 anjuran JPN Pahang dengan kerjasama Kerajaan di Auditorium JPN Pahang pada Isnin.
Wan Rosdy (tengah) melancarkan Majlis TPP dan penyampaian insentif kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 anjuran JPN Pahang dengan kerjasama Kerajaan di Auditorium JPN Pahang pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang melancarkan pelan Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) bagi tempoh 10 tahun dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelan TPP adalah pemangkin hala tuju pendidikan bagi mendepani perubahan dan keperluan mendatang berasaskan model setempat yang merujuk kepada aspirasi sistem dan murid.

Menurutnya, TPP dilihat mampu melahirkan modal insan yang berbakat, berkualiti, mempunyai nilai dan adab terpuji untuk generasi akan datang manakala warga pendidik pula digarap untuk lebih berintegriti, berkemahiran digital, mampu menjadi peneraju perubahan serta menjadi suri teladan.

"Terdapat 10 fokus atau inisiatif dalam TTP ini antaranya, pemerkasaan potensi dan bakat murid; memantapkan lagi kebitaraan guru, keberkesanan pasukan kepimpinan pertengahan (MLT), meningkatkan kualiti dan keberkesanan sekolah pasukan kepimpinan (SLT),

"Selain, pelan ini turut memberi penekanan kepada pembudayaan pengajaran dan pembelajaran bermakna dan menyeronokkan. Ini bermaksud anak murid seronok untuk datang ke sekolah. Inisiatif seterusnya ialah pemugaran sekolah berwatak, pemugaran kolej atau pusat, Tingkatan Enam sebagai pilihan utama, pemacu transformasi pendidikan, peneraju transformasi pendidikan dan pemantapan hubungan serta sokongan" katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Majlis TPP dan penyampaian insentif kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 anjuran JPN Pahang dengan kerjasama kerajaan negeri di Auditorium JPN Pahang pada Isnin.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukkan sebanyak RM330,105 bagi merealisasikan TPP ini.

Jelasnya, bagaimanapun peruntukan itu akan ditambah, sekiranya tidak mencukupi dalam tempoh pelaksanaannya.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin selepas ini mungkin akan ada penambahan peruntukan dan kerajaan negeri akan membantu. Jadi buat masa ini peruntukan diberikan berdasarkan permohonan daripada JPN.

"Kita tahu pendidikan ini amat penting dan kerajaan Pahang tidak mahu kekurangan peruntukan sehingga menyebabkan TPP ini tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancang," katanya.