Agensi penguat kuasa sentiasa pantau aktiviti luar pesisir

 Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.- Foto Bernama
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Agensi penguat kuasa sentiasa membuat pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti luar pesisir sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, agensi penguat kuasa itu merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Kalau ada apa-apa isu yang timbul, agensi inilah yang bertanggungjawab. Kalau ada perkara yang perlu disiasat seperti yang disebut oleh YB Bagan (Lim Guan Eng), Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa yang berwibawa di bawah AMLA sentiasa bersedia bekerjasama dan memanjangkan sokongan kepada agensi-agensi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Lim Guan Eng (PH-Bagan) sebelum itu meminta agar satu siasatan dibuat berhubung pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

Sementara itu, Tengku Zafrul dalam masa sama turut mengalu-alukan laporan daripada orang ramai termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai Kertas Pandora.

“YB Port Dickson kata tadi, dia ada laporan sekiranya terdapat maklumat seseorang individu atau entiti mungkin terlibat dengan penggubahan wang haram, aktiviti pembiayaan keganasan dan penjanaan pendapatan atau hasil daripada aktiviti haram,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: