KPDN tunggu lampu hijau naik taraf bahagian penguat kuasa kepada jabatan

Salahuddin - Foto Bernama
Salahuddin - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menunggu 'lampu hijau' daripada kabinet untuk menaik taraf status Bahagian Penguat Kuasa KPDN kepada sebuah jabatan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah itu amat penting untuk direalisasikan memandangkan cabaran dihadapi bahagian berkenaan dalam memastikan keterjaminan makanan pasca pandemik Covid-19.

"Dalam tempoh ini semua sedia maklum keterjaminan makanan itu bukan sekadar mesti ada tetapi kawal selia penguatkuasaan (juga mesti seiring).

"Sebagai contoh, untuk kita mengawal barang-barang subsidi daripada terus bolos di sempadan, saya rasa dari segi logistik, kekuatan fizikal dan kekuatan bahagian-bahagian penting seperti risikan, adalah menjadi keperluan buat masa ini dan ia memerlukan kekuatan sebagai sebuah jabatan berbanding bahagian yang ada pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perbarisan Kawalan Kehormatan sempena Hari Penguat Kuasa KPDN ke-51 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Penguatkuasa Tahun 2023 di Kem Permata Resort di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh; Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.

Salahuddin berkata, dengan menaik taraf status daripada bahagian kepada sebuah jabatan, ia juga akan mengangkat martabat kumpulan penguat kuasa kementerian itu sekali gus membantu pasukan berkenaan dalam pelbagai aspek termasuk peruntukan dalam meningkatkan penguatkuasaan.

Beliau berkata, ketika ini, KPDN bergantung kepada beberapa agensi keselamatan lain terutama di kawasan sempadan dalam melaksanakan risikan, maka selepas Bahagian Penguat Kuasa dinaik taraf sebagai sebuah jabatan, ia membolehkan Unit Risikan dijadikan sebagai Bahagian Risikan pula. - Bernama