83 peratus pelajar IPT lengkap dos vaksin

Noraini Ahmad
Noraini Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 951,739 atau 83 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini telah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 setakat 1 Oktober lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, secara keseluruhan seramai 1.15 juta pelajar IPT direkodkan ketika ini.

"Sehingga 1 Oktober (2021), sebanyak 83 peratus pelajar IPT telah menerima vaksin lengkap iaitu 951,739 daripada 1.15 juta pelajar secara keseluruhan.

"Bagi kakitangan IPT pula, seramai 117,721 atau 90 peratus telah menerima dos lengkap," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang meminta kementeriannya menyatakan perkembangan terkini program vaksinasi dalam kalangan mahasiswa.

Tambahnya, setakat 8 Oktober lalu, kementerian merekodkan 2,286 atau 0.2 peratus pelajar tidak divaksin atas faktor masalah kesihatan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Akmal Nasrullah berhubung strategi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekiranya terdapat jangkitan serius di sesebuah IPT atau kampus, Noraini menjelaskan, kementeriannya tidak akan menutup kampus secara mengejut seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

Sebaliknya, beliau berkata, penutupan sesuatu IPT hanya boleh dibuat selepas mendapat pertimbangan atau saranan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini kita mengambil pendekatan mana-mana pelajar yang didapati positif Covid-19 atau kontak rapat akan ditempatkan di pusat pengasingan yang diwujudkan di semua IPT," katanya.