Gelembung pelancongan Langkawi jana RM24.9 juta

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi yang dilancarkan pada 16 September lepas memberi sinar baharu kepada industri pelancongan di pulau pelancongan itu apabila berjaya menjana pendapatan sebanyak RM24.9 juta setakat 6 Oktober lalu.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sejumlah 60,504 pelancong berkunjung ke Langkawi sehingga 6 Oktober lepas dengan purata 16 penerbangan sehari ke pulau itu manakala bagi laluan laut pula terdapat dua trip feri ke Langkawi masing-masing dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis serta dua trip untuk perkhidmatan feri RORO ke Langkawi dari Kuala Perlis.

“Melihat jauh ke hadapan, Langkawi dijangka akan dibuka kepada pelancong antarabangsa sekitar November atau Disember 2021 tertakluk kepada keputusan Kerajaan Persekutuan. Saya difahamkan oleh pihak MAS (Malaysia Airlines) terdapat permintaan yang sangat tinggi dalam kalangan pelancong antarabangsa untuk masuk ke Langkawi melalui Malaysia Airlines,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan “Langkawi Great Sales 2021” (LGS) di Langkawi yang disiarkan secara maya pada Ahad. Turut serta dalam majlis perasmian itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Muhammad Sanusi meyakini yang Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berusaha membuat persediaan terbaik bagi merealisasikan pelancongan Langkawi bermula dengan penyediaan Pensijilan Mysafe kepada pemain industri yang merangkumi industri penginapan, restoran, produk pelancongan dan premis perniagaan.

“LADA turut menyediakan talian hotline (utama) gelembung pelancongan dan terkini menyediakan platform Market Place serta LGS bagi membantu penggiat industri pelancongan Langkawi memulakan semula perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah itu menjelaskan, LGS 2021 mengetengahkan elemen promosi secara digital dan konvensional yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, kemudahsampaian informasi melalui platform digital “Great Sale” itu akan membuka lebih peluang kepada pelancong untuk membuat perancangan awal bagi melancong ke Langkawi sekali gus memudahkan urusan mereka ketika melancong di pulau berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Dengan pengenalan kepada inisiatif baru ini, saya juga melihat nama Langkawi terus menjadi sebutan ramai, sekali gus akan melicinkan urusan-urusan pelancong semasa di Langkawi tanpa perlu menunggu giliran atau beratur di kaunter tiket bagi mendapatkan tiket-tiket masuk ke produk pelancongan Langkawi,” katanya. -Bernama