'Henti warisi negara kepada kepimpinan bermasalah'

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan situasi politik pada masa kini mesti dihentikan bagi mengelak negara ini terus diwariskan kepada kepimpinan yang bermasalah.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, jika ia berterusan, kesannya kelak akan ditanggung oleh negara dan rakyat.

"Cuba kita bayangkan kalaulah selepas pilihan raya akan datang, kelompok ini juga akan menerajui kerajaan dan pemerintahan di negara kita ini.

"Apa akan jadi kepada negara dan rakyat. Sebab itu kita tidak boleh mewariskan negara kita ini kepada kepimpinan yang bermasalah," katanya pada Majlis Pelancaran Konvensyen Pemuda Amanah Selangor pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan Pemuda Amanah dan ahli parti agar dapat menghindarkan diri daripada terlibat dalam sebarang masalah kepimpinan.

Beliau berkata, ini kerana usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil alih kepimpinan dan mengetepikan kepimpinan bermasalah dalam negara ini sudah pasti tidak akan dapat dicapai.

"Jadi, marilah kita sama-sama bina parti, bina generasi muda, bina Pemuda Amanah, bina Pemuda PH dengan kekuatan jitu serta memahami segala situasi hiruk-pikuk dan cabaran dalam perjuangan sedang dihadapi kini," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, PH juga bakal berhadapan dengan satu situasi baharu dalam konteks politik pilihan raya akan datang dengan kebanjiran golongan anak muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita menghadapi kemunculan dan kebanjiran golongan muda di dalam senarai daftar pemilih mengundi yang sedang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PH harus memahami generasi terbabit kerana pendirian dan kecenderungan politik mereka masih belum dapat dikenal pasti.

"Mereka tidak dibentuk oleh pemikiran kepandaian, mereka ini masih kosong dalam sudut memahami atau nak 'menganut' apa-apa ideologi politik daripada parti-parti politik.

"Namun, saya percaya dan yakin, generasi ini merupakan generasi yang mengikuti perkembangan politik dan cuba untuk memahami, pemahaman politik yang sedang berlaku di dalam negara," katanya.