Senario politik negara umpama 'mimpi buruk': Pemuda Amanah

Pemuda Amanah Selangor sifatkan senario politik negara ketika kini seumpama 'mimpi buruk' kepada rakyat Malaysia. Gambar kecil: Danial Al-Rashid Haron
Pemuda Amanah Selangor sifatkan senario politik negara ketika kini seumpama 'mimpi buruk' kepada rakyat Malaysia. Gambar kecil: Danial Al-Rashid Haron
A
A
A
SHAH ALAM - Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menyifatkan senario politik negara ketika kini seumpama 'mimpi buruk' kepada rakyat Malaysia.

Ketuanya, Danial Al-Rashid Haron berkata, episod politik negara menjadi lebih malang dengan kewujudan kerajaan yang membelakangi mandat rakyat.

Beliau turut menyifatkan penubuhan kerajaan terbabit juga tidak pernah stabil atau kukuh apabila berlaku pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat.

"Buktinya berlaku pertukaran Perdana Menteri dalam tempoh paling singkat iaitu 18 bulan, namun yang dipersalahkan adalah PH (Pakatan Harapan).

"Ia menyerlahkan kerakusan dan perilaku gopoh sebilangan ahli politik untuk mengaut keuntungan dari sudut jawatan, wang dan kuasa sehingga sanggup mengorbankan kesihatan rakyat yang bergelut dengan pandemik Covid-19," katanya pada majlis pelancaran Konvensyen Pemuda Amanah Selangor pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan, keadaan politik semasa negara ketika ini juga mampu memberi kesan terhadap golongan pengundi muda di negara ini.

"Kesan ini mampu menurunkan (sokongan) anak muda dalam kelompok pengundi 18 mahu pun pengundi kali pertama pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas.

"Mereka ini (juga) mungkin melakukan protes dalam PRU akan datang kerana suasana (sekarang) ini sangat-sangat memberi kesan kepada anak muda," katanya.

Beliau bagaimanapun percaya, kedudukan kerajaan PH di Selangor akan kekal utuh dengan bilangan sokongan yang meyakinkan untuk mempertahankan kerajaan negeri.
Artikel Berkaitan:


"Alhamdulillah di Selangor kita semakin kekal utuh dengan bilangan yang meyakinkan untuk mempertahankan kerajaan negeri walaupun terdapat sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melompat untuk bersama Perikatan Nasional (PN)," ujarnya.