Piala Uber: Malaysia tumbang di tangan Denmark

Kisona tewas kepada Mia Blichfeldt dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Uber di Ceres Arena, Aarhus pada Sabtu.
Kisona tewas kepada Mia Blichfeldt dalam aksi pembukaan Kumpulan D Piala Uber di Ceres Arena, Aarhus pada Sabtu.
A
A
A

SKUAD badminton wanita negara gagal mencipta kejutan awal apabila tewas 1-4 kepada Denmark dalam aksi pembukaan Kumpulan D di Ceres Arena, Aarhus pada Sabtu.

Pemain perseorangan pertama negara, S Kisona terpaksa akur dengan kehebatan pemain tuan rumah, Mia Blichfeldt apabila tewas 11-21, 7-21 dalam pertarungan selama 31 minit.

Denmark memperoleh mata kedua apabila gandingan Maiken Fruergaard-Sarah Thygesen menewaskan beregu 'eksperimen' negara, Lee Meng Yean-M Thinaah 21-19, 10-21, 21-13.

Pemain perseorangan kedua wanita negara, Eoon Qi Xuan merencatkan seketika pesta Denmark apabila melakar kemenangan ke atas Line Christhophersen 18-21, 21-18, 21-15.

Pujian harus diberikan kepada Qi Xuan - pemain yang menghuni ranking ke-123 dunia apabila menampilkan cukup bertenaga untuk menjinakkan lawannya yang menduduki ranking ke-23 dunia.

Bagaimanapun, kejayaan Qi Xuan itu gagal diteruskan beregu kedua negara, Yap Ling-Teoh Mei Xing apabila tewas 13-21, 19-21 kepada Amalie Magelund-Freja Ravn, sekali gus mengesahkan mata ketiga Denmark.

Denmark memperoleh mata keempat menerusi perseorangan ketiga, Line Højmark Kjaersfeldt yang menewaskan K Letshanaa 21-18, 21-14.

Pada Ahad, skuad negara bakal berdepan ujian lebih getir apabila dijadualkan menentang juara 14 kali, China yang meraih kemenangan bersih 5-0 ke atas Kanada.

Artikel Berkaitan: