X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Piala Malaysia: Zainal Abidin tekad bawa Melaka lakar sejarah

ZAINAL ABIDIN
A
A

JASIN - Pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan optimis pasukannya mampu mara lebih jauh dan melakar sejarah baharu negeri itu berdasarkan keputusan positif yang diraih dalam dua perlawanan awal Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2021.

Beliau berkata, anak buahnya kini berada dalam momentum terbaik dan semangat juang tinggi selain bebas daripada kecederaan kecuali Gary Steven Robbat, bagi meneruskan cabaran dalam saingan tersebut.

"Tiada laluan mudah bertemu pasukan seperti Kedah FC, Negeri Sembilan FC dan Kelantan United FC tetapi kita mahu pastikan untuk berada di tangga dua teratas kumpulan ini untuk layak ke pusingan seterusnya.

"Sudah tentu bagi mana-mana jurulatih, pemain yang beraksi dalam saingan berprestij seperti Piala Malaysia menyasarkan untuk beraksi sehingga perlawanan akhir, begitu juga saya dan skuad Melaka tidak terkecuali," katanya selepas menghadiri sambutan Hari Sukan Negara 2021 peringkat negeri di Serkam di sini pada Sabtu.

Zainal Abidin, yang pernah merangkul Piala Malaysia beberapa kali sebagai pemain pada era 80-an dan 90-an, juga bertekad untuk mengulangi pencapaian kali terakhir menjulang trofi itu sebagai jurulatih ketika membimbing Pahang pada musim 2014.

Jurulatih berusia 59 tahun yang sudah tiga musim membimbing skuad Sang Kancil berkata, dalam kempen Piala Malaysia sempena edisi ke-100 tahun itu tiada sesuatu yang mustahil untuk dicapai berikutan kejutan demi kejutan dipamerkan banyak pasukan dalam saingan tersebut.

"Enam mata daripada dua perlawanan termasuk menewaskan Kedah sebelum ini cukup membangkitkan semangat pemain. Kami akan terus memberikan yang terbaik untuk melepasi saingan peringkat kumpulan," katanya.

Untuk rekod, pencapaian terbaik pasukan Melaka dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu adalah sekadar melepasi peringkat suku akhir pada 2017 dan 2019.

Melaka yang mengumpul enam mata kini mendahului Kumpulan C, manakala Kedah dengan kutipan tiga mata di tangga kedua selepas dua perlawanan.

Skuad bimbingan Zainal Abidin itu bakal bertemu Kelantan di Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober, manakala aksi timbal balik bertemu pasukan berkenaan pada 1 November, diikuti Negeri Sembilan (6 November) dan Kedah (9 November). - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!