Bantah projek, 500 penduduk terjejas

Penduduk membantah projek yang mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.
Penduduk membantah projek yang mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.
A
A
A

IPOH - Penduduk Seri Palma, Bandar Seri Botani di sini, mengadakan bantahan terhadap pemaju dan kontraktor projek perumahan berhampiran yang menyebabkan punca masalah debu dan habuk.

Tindakan pemaju itu bukan sahaja menyebabkan masalah pencemaran udara malah, isu keselamatan 500 penduduk turut terjejas apabila puluhan kenderaan berat melalui jalan utama secara kerap.

Penduduk, Mohd Rijal Abd Jamal, 32, berkata, penduduk di Jalan Palma C/8, menerima kesan apabila kerja-kerja pemasangan paip pembentung sejauh 500 meter dilakukan tanpa sebarang notis pemberitahuan terlebih dahulu.

"Mereka juga telah mengabaikan aspek keselamatan dengan tidak meletakkan kon serta tidak menghiraukan harta benda penduduk ketika menjalankan kerja-kerja mengorek tanah di hadapan rumah.

"Semalam, mereka hampir merosakkan kereta saya yang parkir di hadapan rumah apabila excavator yang digunakan diletakkan bersebelahan sahaja ketika mereka melakukan kerja-kerja itu.

Beginilah keadaan jalan yang berdebu dan habuk.
Beginilah keadaan jalan yang berdebu dan habuk.

"Apabila aduan dibuat, barulah mereka memberi notis malah, surat kelulusan permit baru diterima kelmarin, sedangkan kerja-kerja dijalankan sejak Jumaat lalu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja itu menyebabkan persekitaran kediaman berhabuk dan berdebu selain bunyi bising hingga mengganggu ketenteraman penduduk.

Artikel Berkaitan:

Bagi Harman Alibiah, 36, berkata, alasan tiada peruntukan untuk membina bonggol sering diterimanya selepas beberapa kali membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak Oktober tahun lalu.

"Sejak kerja-kerja tanah dijalankan, setiap hari hampir 20 lori menggunakan laluan utama dalam taman kami bermula dari jam 8.30 pagi sehingga lewat petang.

"Kami bimbang akan keselamatan penduduk terutama kanak-kanak yang menunggang basikal pergi dan balik sekolah. Kenderaan berat terbabit telah dipandu dengan laju. Janganlah sampai ada kehilangan nyawa baru tindakan diambil," katanya.

Jalan rosak akibat projek berkenaan.
Jalan rosak akibat projek berkenaan.

Katanya, pemaju seharusnya menyediakan jalan untuk memasuki tapak projek tanpa menjejaskan infrastruktur rumah penduduk berhampiran.

"Jalan kami ada yang berlubang dan mendap kerana muatan berat tidak sesuai lalui kecuali kenderaan ringan sahaja. Gegaran setiap kali kenderaan masuk boleh menyebabkan keretakan kepada rumah penduduk," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI, Zuraidah Zakaria berkata, ekoran aduan penduduk itu, pihaknya meminta kerja-kerja mengorek tanah untuk pemasangan paip pembentungan dihentikan sementara.

"Kita akan satu perjumpaan antara pihak MBI, pemaju dan wakil penduduk dalam masa terdekat bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

"Kita mengambil serius aduan penduduk dan kontraktor diarahkan untuk membersihkan kesan-kesan tanah jalan utama kawasan perumahan ini dan menurap semula jalan yang telah dikorek itu," katanya.