China, Jepun komited perkasa hubungan era baharu

Presiden Xi Jinping
Presiden Xi Jinping
A
A
A

BEIJING - China bersedia memperkasakan dialog dan kerjasama dengan Jepun bagi membentuk hubungan bilateral era baharu, kata Presiden China, Xi Jinping.

Xi berkata, kedua-dua negara perlu menangani isu sensitif dan sebarang percanggahan secara baik bagi memelihara asas hubungan dua hala.

Beliau turut menyarankan supaya kedua-dua pihak memperhebat interaksi dalam pentadbiran negara dan penyelarasan dasar ekonomi, di samping memelihara iklim perdagangan serta pelaburan yang adil dan terbuka.

“China dan Jepun perlu mengamalkan multilateralisme sebenar, menggalakkan kerjasama serantau, dan menyepadukan usaha bagi merungkai cabaran global, serta menjaga keamanan, kestabilan dan pembangunan dunia,” kata Xi dalam perbualan telefon dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Jumaat.

Sementara itu, Kishida berkata, dengan mengambil iktibar daripada sejarah dan peluang sempena ulang tahun ke-50 pemulihan hubungan dua hala pada tahun depan, Jepun berhasrat membentuk hubungan yang lebih mampan dan konstruktif dengan China sejajar tuntutan era baharu.

Beliau turut menyuarakan kesediaan pihaknya untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dengan China dan interaksi dalam kalangan rakyat, di samping merapatkan kolaborasi dalam usaha melawan wabak Covid-19 serta menangani perubahan iklim. - Bernama

Artikel Berkaitan: