Era baharu Mitrovic di Al-Hilal

Mitrovic (kiri) antara pemain dari Liga Perdana Inggeris menyertai cabaran baharu di Liga Pro Saudi.
Mitrovic (kiri) antara pemain dari Liga Perdana Inggeris menyertai cabaran baharu di Liga Pro Saudi.
A
A
A

FULHAM akhirnya melepaskan penyerang Serbia, Aleksandar Mitrovic menyertai kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, kata pengendali Marco Silva selepas pasukan Liga Perdana Inggeris itu tewas 0-3 kepada Brentford pada Sabtu.

Mitrovic, penjaring terbanyak Fulham dalam empat daripada lima musim lalu, tidak bermain dalam perlawanan derbi London Barat selepas mengalami kecederaan pada perlawanan pembukaan musim menentang Everton di Goodison Park hujung minggu lalu.

“Saya mendapat maklumat sebelum perlawanan dan pengesahan kelab selepas perlawanan bahawa dia dalam perjalanan meninggalkan kelab.

“Kedua-dua kelab mencapai persetujuan bersama dan kini adalah masa untuk menamatkan era Mitrovic di Fulham apabila dia memaksa segala-galanya demi mahu meninggalkan kelab ini.

“Akhirnya mereka mencapai kata sepakat dan sekarang adalah masa untuk kami terus bermain dan bekerja tanpa dia,” kata pengendali Portugal itu kepada pemberita di Craven Cottage tanpa memberikan sebarang butiran mengenai perjanjian itu.

Mitrovic mempunyai baki tiga tahun dalam kontraknya dan Fulham bulan lalu dilaporkan menolak bidaan 25 juta pound daripada Al-Hilal, yang juga menandatangani bintang Brazil, Neymar dari Paris Saint-Germain (PSG).

Media British sebelum itu melaporkan Al-Hilal yang berpangkalan di Riyadh kembali dengan tawaran sekitar 46 juta pound.

Dalam pada itu, Silva berkata, Fulham akan berusaha untuk menggantikan Mitrovic dalam jendela perpindahan, namun menegaskan perkara tersebut bukan sesuatu yang mudah.

Artikel Berkaitan:

"Malangnya bagi saya sebagai pengurus, kami mempunyai empat atau lima pemain untuk ditandatangani dalam masa 15 hari. Kedudukan penyerang dan pasaran penyerang bukanlah sesuatu yang mudah.

"Banyak kelab mencari perkara sama. Kami akan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan kewangan kelab.

"Kami perlu mencari pemain yang sesuai untuk menggantikannya. Jika tidak kami akan menghadapi Liga Perdana Inggeris dengan pemain yang kami ada di sini," katanya.