Beberapa kawasan diwartakan Hutan Simpanan Kekal

Foto hiasan.
Foto hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah mewartakan beberapa kawasan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Antara kawasan yang diwartakan adalah kawasan seluas 23.83 hektar di mukim Petaling dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sebagai HSK baharu di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, HSK diwartakan sebagai ‘hutan perlindungan’ dan dikelaskan sebagai hutan penyelidikan, hutan lipur dan hutan pelajaran di bawah subseksyen 10 (1) serta diisytiharkan sebagai hutan tertutup di bawah Seksyen 45 Akta 313.

“HSK di Wilayah Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab bagi perhutanan.

“Pewartaan Hutan Simpan (HS) Sungai Besi (Tambahan) merupakan jenis hutan dipterokarp tanah pamah untuk menggantikan kawasan HS Bukit Sungei Puteh, Mukim Cheras, WPKL seluas 7.48 hektar.

"Ia diwarta keluar bagi pembangunan Lebuhraya Sungai Besi hingga Ulu Kelang (SUKE),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, sebelum pewartaan HSK di WPKL, seluas 68.27 hektar daripada keluasan tanah WPKL meliputi HS Bukit Nanas (9.37 hektar), HS Bukit Sungei Puteh (14.51 hektar), HS Sungai Besi (42.29 hektar) dan HS Bukit Lagong Tambahan (2.10 hektar).

Beliau berkata, keluasan HS Sungai Besi (Tambahan) yang diwartakan adalah lebih besar daripada HS Bukit Sungai Puteh yang diwarta keluar.

Artikel Berkaitan:

“Penggantian HSK secara serentak meningkatkan kawasan hutan di WPKL kepada 0.35 peratus daripada keluasan tanah WPKL.

“Pewartaan ini juga mewujudkan kompleks HS Sungai Besi dan HS Sungai Besi (Tambahan) seluas 66.12 hektar.

"Ia mewakili 78.13 hektar daripada keseluruhan kawasan HSK di WPKL yang berperanan sebagai ‘green lung’ bagi bandaraya Kuala Lumpur,” ujarnya.

Takiyuddin berkata, proses pewartaan keluar dan penggantian HSK secara serentak adalah selaras dengan hasrat dan cadangan pindaan Akta 313 yang sedang diusahakan oleh kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, proses ini merupakan manifestasi usaha untuk mengekalkan 50 peratus dari kawasan tanah negara sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok-pokok.

Tambahnya, KeTSA merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pewartaan HSK dan berharap ia dapat diteruskan oleh pihak-pihak berkuasa negeri untuk mewartakan lebih banyak kawasan hutan sebagai HSK bagi memelihara khazanah negara,” jelasnya.