PCC mula beroperasi sepenuhnya

Phee Boon Poh
Phee Boon Poh
A
A
A

GEORGETOWN - Pusat Panggilan 24 Jam Covid-19 Pulau Pinang (PCC) mula beroperasi sepenuhnya pada Sabtu.

Ketua Pasukan Bertindak Kecemasan Negeri, Phee Boon Poh berkata, inisiatif tersebut sebagai tambahan kepada empat talian sedia ada oleh kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini.

Menurutnya, talian PCC juga berperanan memantau pesakit Covid-19 atau kontak rapat di samping memudahkan cara komunikasi orang awam yang mempunyai kekeliruan serta kerisauan berhubung Covid-19 pada setiap hari dan setiap masa.

"Perkhidmatan PCC akan dijalankan dalam tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin/Hokkien dan Bahasa Tamil.

"Para petugas adalah terdiri daripada sukarelawan dalam kalangan para pegawai Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Boon Pooh yang juga Exco Kebajikan berkata, perkhidmatan berkenaan tidak melibatkan sebarang penubuhan pusat operasi memandangkan para sukarelawan akan bertugas menerusi aplikasi khas yang diwujudkan demi memenuhi keperluan dikenal pasti.

Katanya, setiap perbualan bakal direkod sebagai rujukan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Boon Poh berkata, walaupun Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan kes, namun usaha berterusan adalah perlu dilaksanakan bagi mengawal serta memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 secara menyeluruh di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Bersama-sama kita berganding bahu membangunkan semula aspek kesihatan awam, ekonomi dan sosial negeri Pulau Pinang tercinta," katanya.

Nombor PCC yang boleh dihubungi 04-291 0110