Tiga majikan didenda

Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob turut hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu sedang berbincang sesuatu bersama pegawai-pegawainya selepas kes tamat.
Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob turut hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu sedang berbincang sesuatu bersama pegawai-pegawainya selepas kes tamat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,500 ke atas tiga majikan syarikat perkapalan di sini kerana gagal mengemukakan dokumen caruman 50 pekerjanya kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tidak cukup dengan itu, ketiga tiga majikan tersebut turut berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret, Noradila Ab Latiff mengenakan hukuman itu terhadap MSET Holdings Sdn Bhd, MSET Shipbuilding Corporation Sdn Bhd dan MSET Offshore Corporation Sdn Bhd.

Keputusan dibuat selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan mengikut Seksyen 110 (2) Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kerana gagal mematuhi saman jabatan.

Ketiga-tiga majikan berkenaan yang tidak hadir ke mahkamah membuat pengakuan bersalah itu menerusi peguam syarikat, Nik Maizatul Akmar Nik Mustafa.

Mengikut pertuduhan, tiga syarikat perkapalan yang terletak di Pulau Kambing di sini, gagal mematuhi saman jabatan untuk mengemukakan dokumen pembayaran caruman Perkeso 50 pekerjanya sejak 2016, ketika pemeriksaan dilakukan di syarikat berkenaan pada jam 10 pagi, 7 Februari 2017.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perkeso Terengganu, Karimah Mat Amin dan Safarul Faizam Salleh.

Mengikut fakta kes, Perkeso menerima aduan mengenai kegagalan syarikat berkenaan menyelesaikan tunggakan caruman semua pekerja mereka bermula Januari 2016 sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu Perkeso Terengganu melakukan pemeriksaan di pejabat tiga syarikat perkapalan itu pada 7 Februari 2017 dan mengeluarkan arahan pematuhan untuk mengemukakan dokumen bagi menyelesaikan tunggakan caruman pekerja terbabit pada 15 Februari 2017.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan gagal mematuhi arahan menyebabkan tiga surat peringatan dikeluarkan kepada syarikat iaitu pada 15 Mac 2017, 7 April 2017 dan 28 Mei 2017, namun syarikat masih gagal mengemukakan dokumen itu.

Perkeso kemudian mengeluarkan saman kepada tiga syarikat terbabit pada 7 Oktober 2018 dan syarikat masih gagal mengemukakan dokumen berkenaan.