Norhizam diminta kembalikan kereta rasmi

Kamel, Norhizam Hassan
Kamel, Norhizam Hassan
A
A
A

JASIN - Bekas Exco kerajaan negeri yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee diminta untuk memulangkan semula aset kerajaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad, berkata, pemulangan itu selari dengan tindakan Norhizam yang telah hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali pada Isnin lalu.

"Mewakili kerajaan negeri saya merayu dan mohon kerjasama mantan Exco menyerahkan semula aset kerajaan.

"Aset itu merupakan kenderaan rasmi yang sebelum ini diamanahkan oleh kerajaan negeri kepada beliau selama tempoh memegang jawatan sebagai ADUN dan Exco," ujarnya ketika sidang akhbar program perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Negeri di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam di sini, pada Sabtu.

Jelas beliau, apa yang membimbangkan tindakan Norhizam yang enggan memulangkan aset tersebut akan mengganggu fokus serta usaha-usaha kerajaan negeri untuk mengharmoni dan mensejahterakan rakyat.

"Sekiranya lebih cepat Datuk Norhizam memulangkan kereta rasmi, lebih cepatlah saya bersama-sama penjawat awam dapat fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat, sekali gus merancakkan ekonomi negeri," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, hanya bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang telah bertindak memulangkan aset kerajaan pada Khamis lalu, manakala ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad meminta untuk menangguhkan pemulangan aset hingga Isnin depan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Norhizam akan memulangkan kereta rasmi dan kunci JAPERUN sekiranya semua wakil rakyat bertindak demikian.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga bekas Exco Pertanian, Penternakan dan Pembangunan Usahawan mendakwa, secara dasarnya apabila kerajaan dibubarkan pada Selasa lalu, maka 28 wakil rakyat hilang kelayakan sebagai wakil rakyat mahupun Exco.