Sokongan ADUN Bebas kepada GRS bantu realisasi Pelan SMJ

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor turut menyertai senamrobik sempena Hari Sukan Negara peringkat negeri Sabah di Kompleks Sukan Likas hari ini.- Foto Bernama
Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor turut menyertai senamrobik sempena Hari Sukan Negara peringkat negeri Sabah di Kompleks Sukan Likas hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor melihat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dapat membantu usaha merealisasikan hala tuju Pelan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025.

Beliau berkata, sokongan itu sekali gus dilihat membolehkan ADUN Bebas dan kerajaan GRS dapat bersama-sama memberi fokus kepada perpaduan rakyat seterusnya melonjakkan pembangunan negeri.

“Terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat (ADUN Bebas) yang menyokong hala tuju kerajaan negeri. Jadi dengan itu, kita boleh memberi fokus kepada perpaduan dan pembangunan rakyat serta negeri Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri di Kompleks Sukan Likas pada Sabtu.

Hajiji berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob untuk keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyokong kerajaan negeri ditadbir GRS pada Jumaat.

Mengulas lanjut perkara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, setiap ADUN mempunyai hak istimewa untuk membuat keputusan dalam memilih platform berkhidmat kepada mana-mana parti politik mahupun secara bebas.

“Ini hak demokrasi ahli-ahli politik di mana sahaja mereka pilih untuk berkhidmat atau melalui landasan dan parti yang mereka inginkan. Saya rasa itu sahaja saya boleh komen kerana ini terpulang kepada Ahli Yang Berhormat tersebut,” katanya.

Pada Jumaat, Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan ketika mengumumkan keluar parti berkata, beliau mengambil keputusan tersebut kerana mahu membantu rakyat di kawasan Sindumin dan Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, Yusof, 66, memenangi kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, dan terus mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

Artikel Berkaitan:

Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN, kini hanya memiliki 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November 2020 dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lepas.

Pilihan raya kecil DUN Bugaya masih belum diadakan berikutan perintah darurat dilaksanakan bagi kawasan itu. - Bernama