Tasik Temengor, Taman Negeri DiRaja Belum dibuka kepada pelancong

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GERIK - Aktiviti pelancongan di Tasik Temengor dan Taman Negeri DiRaja Belum kembali dibuka selepas hampir 19 bulan ditutup akibat pandemik Covid-19.

Tourism Perak Management Berhad dalam satu kenyataan berkata, pengusaha pelancongan terutama pengusaha rumah bot kini menarik nafas lega apabila kawasan berkenaan mula beroperasi pada Jumaat.

Menurutnya, pembukaan sektor pelancongan itu akan memberi sinar baharu kepada mereka dan dapat membantu meningkatkan ekonomi komuniti setempat selepas lama suram dan tiada pelancong.

"Kelonggaran bagi aktiviti pelancongan itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa syarat ditetapkan termasuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah pengusaha perkhidmatan rumah bot perlu berdaftar dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak dan Jabatan Perikanan serta wajib menyediakan kemudahan mengimbas kod QR MySejahtera," kata kenyataan itu.

Kenyataan berkenaan turut memaklumkan, menerusi pemeriksaan status MySejahtera, hanya individu yang berstatus berisiko rendah (Low Risk) termasuk 'risiko rendah kontak rapat' (Casual Contact Low Risk) sahaja dibenarkan masuk.

"Kebenaran bermalam di dalam rumah bot dengan syarat rumah bot tersebut berada dalam kawasan Taman Negeri DiRaja Belum semasa bermalam iaitu selama tiga hari dua malam," katanya.

Melalui kenyataan sama, Tourism Perak Management Berhad memberitahu, pengunjung dan pengusaha produk pelancongan dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Perbadanan Taman Negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

"Hanya dibenarkan aktviti memancing secara harian tanpa melibatkan bermalam selain menerima mereka dari dalam negeri sahaja.

"Pengusaha dan pengunjung telah lengkap divaksinasi perlu mengemukakan Salinan sijil sah vaksinasi Covid-19 bersama borang permohonan permit selain kapasiti penumpang bot adalah 50 peratus daripada kapasiti sebenar," katanya.

Bagaimanapun aktiviti ke perkampungan orang asli adalah tidak dibenarkan.