'Pas Perak mahu fokus kerusi-kerusi dimenangi Amanah'

Razman
Razman
A
A
A

PARIT BUNTAR - Pas Perak berharap laluan diberikan kepada parti itu untuk bertanding lapan kerusi yang dimenangi Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, lapan kerusi membabitkan enam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen itu layak ditandingi Pas kerana tidak mengganggu status quo parti lain.

Menurutnya, Pas menghormati pendirian UMNO untuk bertanding semua kerusi DUN dimenangi, namun pada masa sama mengharapkan rundingan yang adil atas dasar persepakatan dalam Muafakat Nasional (MN).

"Kami raikan pendirian UMNO berpegang pada status quo bertanding di tempat mereka menang (PRU14), bermakna ada 27 kerusi DUN, jadi 27 kerusi itu kami tak kacau sehingga ada rundingan-rundingan lain.

"Jadi selain tiga kerusi sedia ada yang kita menangi ini, Pas juga mahu fokus pada kerusi-kerusi yang dimenangi Amanah. Kami harap perkara ini ada persetujuan daripada UMNO apabila dirundingkan nanti," katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan hilang di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Polis Marin di Kuala Kurau di sini pada Jumaat.

Lapan kerusi yang diwakili Amanah ketika ini adalah DUN Titi Serong, Kamunting, Manjoi, Pasir Panjang, Sungai Rapat dan Behrang serta Parlimen Parit Buntar dan Lumut.

Tiga kerusi yang dimenangi Pas pula adalah DUN Gunung Semanggol, Selama dan Kubu Gajah.

Razman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, melalui persepakatan MN, adalah tidak wajar Pas diberikan bilangan kerusi sedikit untuk ditandingi pada PRU15 nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kami ada keahlian tinggi mencecah 200,000 orang di Perak dan mempunyai cawangan di setiap 829 kampung tradisi Melayu.

"Jadi tak kan Pas nak diberikan beberapa kerusi sahaja, ini tidak adil bagi kami sedangkan di tempat UMNO tanding nanti, kami diarahkan untuk memberi undi kepada UMNO," katanya.

Pemuda Pas Perak dalam satu kenyataan 1 Oktober lalu menyatakan kesediaan dan komitmen untuk menawan enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen dimenangi Amanah.

Ketua Pemuda Pas negeri, Ahmad Faisal Mohd Puait yakin parti itu terutama calon kalangan pemuda mampu memenangi semua kerusi berkenaan pada PRU15 nanti.