PRN: PH Pulau Pinang mahu pertahankan semua kerusi disandang

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan mempertahankan semua kerusi yang disandang oleh gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu antara yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Sabtu selain beberapa perkara lain.

Beliau berkata, sekiranya ada penyandang memutuskan untuk melepaskan kerusi mereka, maka kerusi itu boleh diberikan kepada mana-mana parti yang mahu mengambil alih kerusi berkenaan.

"Setakat ini tidak ada penyandang daripada PH yang mahu melepaskan kerusi yang telah ditandingi mereka pada pilihan raya sebelum ini.

"Selain itu, kita juga ada sebut mengenai pertukaran kerusi di sini untuk mendapatkan kerusi di luar negeri kita...itu juga boleh dirunding," katanya ketika ditemui pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Wesak 2023 yang diadakan di Bangunan Persatuan Buddha Malaysia di Jalan Burma dekat sini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, meskipun PH sudah mencapai kata sepakat berhubung pembahagian kerusi, namun perkara itu masih perlu dirunding dengan UMNO dan Barisan Nasional ( BN) terlebih dahulu.

"Kita ada satu kedudukan tetapi kita perlu dengar apa yang akan dikemukakan oleh UMNO dan BN nanti.

"Kita mahu melihat apakah ia selari dengan apa yang kita putuskan, kalau sama dengan apa yang kita putuskan maka ia lebih senang ia dapat dimuktamadkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebarang isu termasuk berkaitan pengagihan kerusi ia perlu diselesaikan di peringkat negeri dan pimpinan pusat akan menyokong apa yang diputuskan di peringkat negeri.

Namun sekiranya ada perkara yang tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri, maka ia akan di selesaikan di peringkat pimpinan pusat.