PRU15: Gerakan cadang letak calon di Terengganu

Dominic
Dominic
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat meletakkan calon untuk bertanding di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam tempoh terdekat.

"Sebelum ini Gerakan telah memainkan peranan untuk menarik sokongan dalam pilihan raya di Terengganu, kali ini kita berhasrat untuk mengemukakan cadangan bagi mencalonkan ahli atau pemimpin kita dalam PRU akan datang.

"Sebagai sebuah parti politik kita perlu mainkan peranan serta mengambil bahagian dalam PRU kerana ini adalah satu normal dan perubahan yang baharu. Tiada yang mustahil dan saya berharap berlaku perubahan dalam parti Gerakan di Terengganu, " katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Gerakan Terengganu yang diadakan secara dalam talian, pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil analisis yang dibuat, PRU15 mungkin diadakan pada bila-bila masa selepas tempoh enam bulan bermula dari sekarang.

Justeru, katanya beliau menyeru agar jentera parti meneruskan kerja-kerja sebagai persediaan untuk menghadapi PRU15 akan datang.

"Ada beberapa asas kukuh kita jangka PRU15 akan diadakan dalam tempoh enam bulan daripada sekarang iaitu tempoh tamat darurat di Sarawak pada Februari 2022 yang membolehkan PRU15 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

"Selain itu, dalam tempoh itu juga dianggarkan lebih 90 peratus populasi dewasa di seluruh negara ini telah melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 iaitu peratusan tersebut dijangka akan mula dicapai pada 15 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

"Ini antara asas bagi mengawal Covid-19 sekali gus membolehkan PRU15 diadakan," jelasnya.