PGA 9 rampas 9,700 kotak cecair vape cuba diseludup ke negara jiran

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

TUMPAT - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA 9) merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama bernilai RM150,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar berikutan permintaan tinggi di negara jiran, pada Khamis.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan dilakukan di Kampung Simpangan pada jam 5 petang.

Beliau berkata, semasa melakukan rondaan, anggota Strike Force Kompeni ‘C’ PGA 9 melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan kotak berwarna coklat mengandungi 9,700 kotak cecair vape yang disyaki ingin diseludup ke Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan. Setelah menunggu kira-kira 30 minit, seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun datang dan mengaku barangan itu miliknya.

“Berikutan itu anggota pasukan telah bertindak merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama, satu pod vape jenama RELX bernilai RM60 dan sebuah kereta Proton Wira bernilai RM7,000,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Azhari berkata, lelaki serta seluruh barangan rampasan yang dianggar bernilai RM157,060 itu dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952. - Bernama

Artikel Berkaitan: