Selaraskan pelabelan cecair vape betul dalam RUU

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk menyelaraskan pelabelan produk cecair vape yang betul dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pengawalan Produk Tembakau untuk Kesihatan Awam 2023.

Menerusi kenyataan Pusat Pengajian Perubatan dan Kaji Hayat, Universiti Sunway, penyelidik Bioperubatan dan Kesihatan Awam memaklumkan, perkara tersebut perlu dilakukan rentetan penemuan cecair vape yang dijual tanpa penjejakan betul sehingga boleh mendatangkan masalah kesihatan awam serius.

Dalam satu kenyataan bersama, Dr Amar Daud Iskandar Abdullah, Look Keyun, Dr Ser Hooi Leng, Profesor Elil Renganathan dan Profesor Long Chiau Ming berkata, kajian terperinci telah dilakukan dengan meneliti ketepatan pembungkusan dan amalan pelabelan cecair vape yang dibeli dari platform dalam talian.

Menurutnya, penelitian telah dijalankan terhadap 18 jenis cecair vape berbeza yang diperoleh daripada portal terkenal dalam talian.

“Pemilihan ini adalah perwakilan yang mana ia merangkumi pelbagai pengilang, harga, perisa dan kepekatan nikotin.

“Kami menyelaraskan proses penilaian dengan garis panduan pelabelan yang ditetapkan oleh UK Medicines dan Healthcare products Regulatory Agency. Hasil kajian menunjukkan ketidakpatuhan serius,” kata para penyelidik itu.

Beritahu mereka, kesemua isi padu produk berkenaan melebihi peraturan UK secara signifikan, yang mana ia membatasi sukatan maksimum e-cair nikotin untuk dijual dalam satu bekas isian semula kepada 10 mililiter.

Lebih mengejutkan 16 daripada 18 cecair vape yang dikaji tidak mempunyai nombor kumpulan dan ia menghalang penjejakan dan pengingatan produk yang berpotensi.

“13 daripada 18 produk tidak mempunyai butiran pengilang manakala empat daripadanya mempunyai nama syarikat tempatan atau alamat yang tidak dapat ditjejaki. Hanya satu produk yang mempunyai maklumat alamat sah.

“Seterusnya, 15 daripada 18 cecair vape itu tidak menyenaraikan nombor telefon dan selebihnya memaparkan nombor yang tidak aktif,” kata kenyataan itu.

Bukan itu sahaja, para penyelidik berkenaan memaklumkan bahawa tujuh daripada 18 produk tersebut menyenaraikan maklumat akaun media sosial pada pembungkusan yang mana ia berfungsi untuk menggalakkan pembelian berulang.

Bagaimanapun, penyelidik berkenaan menegaskan bahawa tawaran, diskaun dan tuntutan keselamatan atau kesihatan yang berkaitan dengan produk tersebut adalah dilarang di platform berkenaan.