'Dijangka lebih ramai ADUN pembangkang Sabah sokong kerajaan'

Isnin ketika ditemui pemberita selepas hadir pada sidang akhbar pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, keluar Warisan di Kota Kinabalu.
Isnin ketika ditemui pemberita selepas hadir pada sidang akhbar pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, keluar Warisan di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih mendedahkan dijangka lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Sabah akan menyokong kerajaan.

Beliau berkata, ramai ADUN daripada pihak pembangkang berhubung dengan parti dalam kerajaan namun masih tidak berani mengambil langkah keluar daripada parti mereka.

"Jadi saya menyeru kepada mereka, mari kita sama-sama (dalam) kerajaan. Ada empat tahun lagi untuk kita bangunkan kawasan kita," katanya kepada pemberita selepas hadir pada sidang akhbar pengumuman ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah seruan beliau itu sebagai petanda akan lebih ramai ADUN pembangkang menyokong kerajaan.

Isnin turut memberitahu, pihak yang menghubungi parti dalam kerajaan itu dari Warisan tetapi enggan mendedahkan beberapa individu terbabit.

Isnin yang juga ADUN Klias berkata lagi, tindakan ADUN yang masih sukar membuat keputusan menyertai kerajaan mungkin disebabkan taksub dengan pemimpin parti atau mereka diberi jaminan akan membentuk kerajaan.

"Kemungkinan juga ada sesuatu lain yang mereka sukar sangat (buat keputusan)," katanya.

Beliau sebelum itu memberitahu, keputusan Yusof keluar daripada Warisan dan menyokong kerajaan adalah tepat untuk membangunkan kawasan beliau dan negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan secara rasmi keluar daripada Warisan dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.