X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

JPJ Pahang lancar operasi penyamaran kesan lori langgar peraturan

Lori yang ditahan disyaki membawa lebih muatan ditimbang menggunakan alat timbang mudah alih dalam Ops Tutup yang dijalankan sekitar Kuantan dan Pekan bermula Isnin hingga Rabu lalu. - Foto JPJ Pahang
A
A

KUANTAN- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang melaksanakan Ops Tutup secara penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa logo jabatan bagi mengesan lori membawa lebih muatan dan membawa muatan secara tidak selamat sekitar Pekan dan Kuantan bermula pada Isnin hingga Rabu lalu.

Operasi yang disertai 21 pegawai diketuai Ketua Bahagian Penguat kuasa JPJ Pahang, Asmahanu Ibrahim itu memberi tumpuan di laluan yang dikenal pasti digunakan lori-lori mengangkut pasir membawa muatan secara tidak selamat.

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, antara laluan yang dilaksanakan Ops Tutup sepanjang tiga hari itu termasuk Jalan Kuantan-Pekan (Jalan Kampung Lamir- Ganchong).

"Dalam operasi itu, 135 lori diperiksa dan 35 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

"Sebanyak empat saman dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan membawa lebih muatan dan 14 saman di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Anggota JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas lori yang ditahan dalam Ops Tutup yang diadakan sekitar Kuantan dan Pekan pada Isnin hingga Rabu lalu. - Foto JPJ Pahang
Anggota JPJ Pahang melakukan pemeriksaan ke atas lori yang ditahan dalam Ops Tutup yang diadakan sekitar Kuantan dan Pekan pada Isnin hingga Rabu lalu. - Foto JPJ Pahang

Kamarul Iskandar berkata, kesalahan lain yang dikesan dan diambil tindakan ialah berkaitan lesen memandu, muatan bahaya dan teknikal kenderaan.

Jelasnya, objektif utama operasi itu bagi memastikan para pemandu dan pengusaha atau syarikat yang menjalankan aktiviti pengangkutan barangan mematuhi undang -undang dan peraturan yang telah ditetapkan seperti yang digariskan di bawah APJ 1987 dan syarat Lesen Pengendali di bawah APAD 2010.

"Pihak JPJ Pahang juga menerima rungutan daripada masyarakat setempat berkaitan isu lori lebih muatan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Tambah beliau, atas kebimbangan itu, JPJ Pahang bertindak melalui Ops Tutup di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

"Semua pengguna jalan raya di negeri ini terutamanya pemandu kenderaan barangan diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan bagi mewujudkan persekitaran jalan raya yang selamat kepada semua pengguna," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!