ADUN Sindumin sah keluar Warisan

Yusof (kanan) mengumumkan secara rasmi keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Jumaat.
Yusof (kanan) mengumumkan secara rasmi keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan secara rasmi keluar daripada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan Warisan mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar, di sini pada Jumaat.

Yusof berkata, beliau akan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Persekutuan dan negeri selain melepaskan jawatan serta keahliannya dalam Warisan.

"Saya sebagai ADUN Sindumin memilih untuk bekerjasama, memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang memerintah Persekutuan.

"Saya juga memberi sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan kerajaan negeri Sabah demi kepentingan rakyat untuk kestabilan politik negeri dan juga kestabilan negara," katanya.

Tambah beliau, keputusan itu diambil bukan atas desakan atau pengaruh daripada mana-mana pihak serta tidak mempunyai sebarang masalah dengan Warisan.

Diminta mengulas jika ada tindakan perundangan daripada pihak Warisan, Yusof berkata, beliau bersedia dan bertanggungjawab dengan pilihannya.

"Sebab itu saya katakan ia adalah pilihan saya, selepas ini nasib dan kedudukan saya dalam politik terpulang kepada rakyat untuk menentukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Beaufort, Datuk Isnin Aliasnih yang juga ADUN Klias.

Desas desus Yusof keluar daripada Warisan mula diperkatakan sejak Sabtu lalu namun beliau enggan mengulasnya.