Program CampBijak bantu lahirkan pelajar asnaf cemerlang

Dari kanan: Mohd Nizam, Mohd Daud dan Syed Zainal Abidin (kiri) pada Majlis MoU MAIWP dan DNEX di MAIWP pada Khamis.
Dari kanan: Mohd Nizam, Mohd Daud dan Syed Zainal Abidin (kiri) pada Majlis MoU MAIWP dan DNEX di MAIWP pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Dagang NeXchange Berhad (DNEX) untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan bagi melahirkan pelajar asnaf cemerlang dan berfikiran aras tinggi.

Memorandum kerjasama itu ditandatangani Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pengarah Urusan Kumpulan DNEX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir sambil disaksikan Pengerusi MAIWP, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Mohd Daud berkata, kerjasama julung kali itu akan menyediakan modul pendidikan berkualiti menerusi Program CampBijak yang akan memberi manfaat kepada 200 pelajar institusi MAIWP bagi pelajar Tingkatan Empat dan Lima.

Menurutnya, seramai 143 pelajar Darul Kifayah dan 60 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) MAIWP akan menyertai program itu yang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan secara dalam talian.“Modul itu memberi fokus kepada pelajar dalam satu aliran yang mungkin tidak terkehadapan dari segi sains dan teknologi serta memberi peluang mereka berinteraksi dalam satu ekosistem luar dari institusi MAIWP.

“Sinergi daripada program ini diharap dapat memberi impak yang baik dari segi cara berfikir, bertindak, kaedah menganalisis persekitaran dan cara mendepani peperiksaan akan datang,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Seminar Aras 1 MAIWP di sini pada Khamis.

Sementara itu, Syed Zainal Abidin berkata, program CampBijak dilaksanakan oleh DNEX sejak tahun 2016 dan telah memanfaatkan 500 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di seluruh negara.

Menurutnya, modul pendidikan meliputi aktiviti di luar bilik darjah dan menekankan pengembangan pemikiran aras tinggi (HOTS) dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Kami berbesar hati dan berbangga kerana dapat bekerjasama dengan MAIWP untuk membantu golongan asnaf.

Artikel Berkaitan:

“Kami juga sedar salah satu cara untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan ini ialah melalui pendidikan,” katanya.