Myvi terbakar: Mangsa rentung dikenal pasti suami isteri

Dua individu rentung dalam kejadian kebakaran sebuah kereta berdekatan lampu isyarat di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Khamis. Foto: JBPM Kedah
Dua individu rentung dalam kejadian kebakaran sebuah kereta berdekatan lampu isyarat di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Khamis. Foto: JBPM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Mayat pemandu dan penumpang rentung dalam kebakaran kereta jenis Perodua Myvi di lampu isyarat Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada Khamis dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, mayat lelaki di tempat duduk pemandu dikenali sebagai Lim Gi Ying, 22, manakala mangsa wanita di tempat duduk penumpang dikenali sebagai Tan Su Wen, 19.

Beliau berkata, identiti mangsa lelaki telah disahkan waris, manakala mayat wanita berdasarkan penemuan dokumen pengenalan diri diperoleh dalam beg pada badannya.

"Lebih kurang jam 3.15 pagi, Pejabat Pertanyaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima maklumat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan terbabas di lampu isyarat itu.

"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa bergerak dari lampu isyarat sebuah pasar raya menuju ke lampu isyarat Lebuhraya Sultanah Bahiyah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa gagal mengawal kenderaan ketika menghampiri lampu isyarat lalu terbabas sebelum terbakar di tempat kejadian.

Katanya, kejadian itu mengakibatkan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat terbakar dalam kenderaan tersebut.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan dua individu rentung dalam kejadian kebakaran sebuah kereta berdekatan lampu isyarat Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terlibat nahas terbakar, dua remaja rentung