Isu arak 'hangatkan' Dewan Rakyat

Sidang Dewan Rakyat sesi pagi Khamis hangat seketika apabila isu penjualan arak dibangkitkan.Gambar hiasan
Sidang Dewan Rakyat sesi pagi Khamis hangat seketika apabila isu penjualan arak dibangkitkan.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat sesi pagi Khamis hangat seketika apabila isu penjualan arak dibangkitkan.

Suasana panas itu bermula apabila Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) dalam soalan tambahannya meminta Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan matlamat dan tujuan asal Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang tidak membenarkan penjualan arak di di kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur.

Menjawab soalan itu, Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, langkah untuk memperkenalkan garis panduan LMK itu dibuat bagi membolehkan kementeriannya melihat semula jumlah lesen yang telah dikeluarkan untuk tujuan itu.

"Jadi sekarang ini kita tidak mahu lagi beri lesen (jual arak) kepada kedai runcit, kedai serbaneka, kedai ubat Cina tetapi kedai yang dikhususkan untuk jual arak dibenarkan.

"Kalau ikut statistik kebenaran yang telah diberikan ini menunjukkan bahawa mereka yang memohon dan mendapat kelulusan (jual arak) telah bertambah," katanya.

Tidak berpuas hati dengan soalan yang dibangkitkan Wan Hassan, Teresa Kok (PH-Seputeh) bangkit mempersoal kewajaran larangan penjualan arak di premis berkenaan.

Ujar Teresa, tidak wajar isu penjualan arak di kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur dipersoalkan kerana perkara itu sudah lama dilaksanakan.

"Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk dan menjadi wajah kepada Malaysia, bukannya masyarakat konservatif di Dungun.

Artikel Berkaitan:

"Larangan ini sebenarnya telah mengecewakan banyak peniaga kerana kebanyakan kedai Cina menjual ubat kesihatan yang mengandungi arak," katanya.

Kenyataan Teresa membandingkan masyarakat Kuala Lumpur dan Dungun yang disifatkan konservatif itu membangkitkan rasa kurang senang ahli Parlimen Pas.

Beberapa ahli Parlimen Pas bangkit meminta supaya Teresa menarik balik kenyataan konservatif yang bersifat penghinaan kepada masyarakat di Dungun.

Datuk Awang Hashim (Pas-Pendang) bangkit mencelah meminta Teresa menarik balik kenyataan konservatif yang dikeluarkan itu.

Suasana tegang itu berlanjutan beberapa minit sebelum ditenangkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

"Yang Berhormat tolong, tidak ada hinaan," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat kemudiannya diteruskan dengan sesi pertanyaan bagi jawab lisan.