Eksekutif rugi RM1.3 juta selepas dedah maklumat akaun bank

Mangsa telah dihubungi oleh 'pegawai' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa sebuah syarikat didaftarkan di atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600. Gambar hiasan
Mangsa telah dihubungi oleh 'pegawai' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa sebuah syarikat didaftarkan di atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Seorang lelaki mengalami kerugian mencecah RM1.3 juta selepas mendedahkan maklumat perbankan dan kata laluan guna sekali (OTP) kepada penjenayah Macau Scam pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak berkata, beliau menerima laporan daripada mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat antarabangsa pada Selasa.

"Mangsa telah dihubungi oleh 'pegawai' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendakwa sebuah syarikat didaftarkan di atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600.

"Mangsa telah diminta untuk mendedahkan maklumat akaun peribadi dan menyerahkan OTP supaya wang tersebut dapat dipindahkan ke akaun 'Bank Negara'," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mahidisham berkata, mangsa yang curiga selepas mendapati terdapat transaksi pemindahan wang daripada beberapa akaun miliknya membuat semakan di LHDN.

"Semakan LHDN mendapati tiada siasatan dijalankan ke atas dirinya. Kes melibatkan kerugian berjumlah RM1.3 juta," katanya.

Sementara itu, beliau berkata,sebanyak 442 kertas siasatan dibuka oleh polis membabitkan kerugian mencecah RM 20.5 juta bermula 1 Januari hingga 30 September.

Menurutnya, modus operandi sindiket Macau Scam tersebut adalah dengan menakut-nakutkan mangsa kononnya mereka sedang disiasat pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mahidisham berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut.