Kerajaan benar syarikat swasta tawar internet melalui satelit

 Zahidi Zainul Abidin
Zahidi Zainul Abidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tiada masalah membenarkan syarikat swasta untuk menawarkan perkhidmatan internet dan telekomunikasi melalui teknologi satelit, Dewan Rakyat dimaklumkan pada Rabu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia dengan syarat syarikat berkenaan dapat menawarkan harga berpatutan kepada rakyat.

Beliau tidak menafikan kawasan luar bandar terutama di tempat yang berbukit-bukau akan tetap menghadapi masalah liputan walaupun menara telekomunikasi baharu dibina.

“Kerajaan memang berniat nak bagi liputan (internet) terutama kepada kawasan-kawasan luar bandar menggunakan satelit, sebab kadang-kadang kawasan berbukit-bukau ini tak ada liputan, terlindung...kadang-kadang ada kawasan ladang yang serap liputan.

“Jadi ini penting, tetapi penggunaan satelit ini mahal, saya nak maklumkan kerajaan tak pernah naikkan harga (bil telekomunikasi), kecuali dia (pengguna) nak tambah data...tetapi kebanyakannya dari segi kadar nak bayar bil, kita kekalkan harga supaya boleh bantu rakyat,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang menggunakan satelit bagi membekalkan liputan telekomunikasi dan internet di kawasan pedalaman.

Berkaitan penyediaan rangkaian 5G, Zahidi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memastikan wujud kerjasama antara syarikat telekomunikasi seperti Telekom dengan penyedia tunggal infrastruktur dan rangkaian berkenaan iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) bagi memastikan kejayaan inisiatif itu.

Sebelum ini, SKMM menyatakan agensi itu akan mengawal selia serta memantau DNB bagi menjamin semua penyedia perkhidmatan telekomunikasi mempunyai akses terbuka, adil dan saksama dalam pemerolehan jualan borong perkhidmatan jaringan 5G bagi pembangunan perkhidmatan runcit berasaskan teknologi 5G.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, 86 kertas siasatan dibuka SKMM berkaitan penyebaran kandungan berunsur penghinaan terhadap agama, kaum dan institusi diraja sejak 2018 hingga Ogos lalu.

“Sebanyak empat kes telah pun dihadapkan ke mahkamah. Usaha yang dijalankan SKMM ini akan diteruskan berdasarkan laporan dan aduan awam yang diterima,” katanya. - Bernama