Pemuda UMNO berharap Timbalan Agong isytihar darurat di Melaka

Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Selasa.
Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO berharap supaya Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk mengisytiharkan proklamasi darurat di seluruh Melaka bagi tujuan menggantung sementara pelaksanaan pilihan raya di negeri tersebut.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah sedemikian serupa sebagaimana pengisytiharan darurat yang dilaksanakan di Sarawak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) digantung dalam tempoh berkenaan sehingga 2 Februari tahun depan.

“Ini bagi membolehkan usaha-usaha mengawal pandemik Covid-19 dapat difokuskan dan kebajikan rakyat yang terkesan teruk dapat ditangani terlebih dahulu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Pada Selasa, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas empat orang Ahli Dewan Undangan Neger (ADUN) kerajaan negeri iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengesahkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam kenyataannya pada petang Selasa mengesahkan pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker (DUN) Melaka berhubung pembubaran DUN negeri itu.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut dan tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian.

Menurut Ikmalrudin, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) dan (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka, ia menetapkan bahawa PRN hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN itu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi menerusi ruangan komen pada hantaran tersebut menjelaskan bahawa seperti di Sarawak, pengisytiharan darurat yang diharapkan itu bukanlah secara menyeluruh.

“Bukan darurat menyeluruh, sebagaimana di Sarawak hanya untuk menangguhkan PRN buat sementara waktu sehingga 2 Februari,” ujarnya.