Empat ditahan terlibat pelaburan tidak wujud, judi online

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat individu dipercayai terlibat kegiatan pelaburan tidak wujud dan perjudian dalam talian di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, serbuan dijalankan Bahagian Risikan/Operasi, Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bersama Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Kuala Lumpur.

"Serbuan kira-kira jam 3.45 petang berjaya menahan empat individu terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 21 tahun sehingga 30 tahun yang dipercayai terlibat dengan kegiatan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, serbuan turut merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

"Antara dirampas adalah lima unit telefon bimbit pelbagai jenama, lapan komputer riba pelbagai jenama dan lima set tablet pelbagai jenama.

"Selain itu turut dirampas satu unit modem, satu unit router, satu set komputer, satu rangkai kunci dan wang tunai berjumlah RM125," katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama hampir sebulan.

"Kesemua suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.