Anak Duterte masih berteka-teki

Sara menjadi rebutan beberapa ahli politik untuk bertanding bersama pada pilihan raya 2022. - Foto Agensi
Sara menjadi rebutan beberapa ahli politik untuk bertanding bersama pada pilihan raya 2022. - Foto Agensi
A
A
A

MANILA - Anak Presiden Filipina, Rodrigo Duterte tidak berhasrat untuk menyertai parti pimpinan bapanya, PDP-Laban atau bertanding di bawah tiket parti pemerintah tersebut, menurut jurucakap wanita itu pada Isnin.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Duterte mendakwa Sara Duterte-Carpio yang memegang jawatan Datuk Bandar Davao akan menggantikan beliau untuk bertanding bagi merebut jawatan Presiden pada tahun depan.

Sebelum ini, Sara, 43, menyatakan mahu bertanding semula jawatan datuk bandar tersebut, namun beliau masih dibenarkan untuk mengubah keputusan atau mendaftarkan pencalonan lain sebelum 15 November depan.

Sehingga kini, Parti PDP-Laban masih belum menamakan calon untuk mengambil alih jawatan Duterte yang turut mengumumkan keputusan untuk bersara daripada dunia politik pada akhir minggu lalu.

Presiden parti itu, Alfonso Cusi berkata, peluang itu dibuka kepada Sara untuk bertanding di bawah tiket PDP-Laban walaupun beliau bukan anggota parti tersebut.

"Terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan itu," ujarnya.

Walaupun Sara berulang kali menolak untuk menjadi pengganti bapanya, beliau tetap menjadi calon presiden paling popular.

"Beliau adalah satu-satunya calon pentadbiran yang layak. Sudah pasti ada sebab tertentu mengapa ramai memberi sokongan kerana mereka tahu beliau mempunyai pendirian politik sendiri berbanding bapanya," kata penganalisis politik, Edmund Tayao.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pihak tidak menolak kemungkinan Sara akan mengemukakan pencalonan pada saat akhir seperti dilakukan Duterte ketika kempen pada tahun 2016.

Ketika ini, banyak pihak melihat Duterte, 76, cuba memilih calon pengganti yang boleh dipercayai sepenuhnya untuk melindungi beliau daripada tindakan undang-undang termasuk siasatan jenayah dilancarkan Mahkamah Jenayah Antabangsa (ICC) terhadap pembunuhan ribuan orang di bawah kempen antidadah dilancarkan pemimpin tersebut.

Hal ini kerana, Duterte mungkin bimbang dengan nasibnya berikutan beberapa bekas Presiden Filipina telah berdepan dakwaan malah dihukum penjara selepas penggal pentadbiran mereka berakhir.

Bekas Profesor Politik, Temario Rivera bagaimanapun berpendapat gabungan Sara bersama pembantu rapat Duterte, Senator Christopher 'Bong' Go bukan pilihan yang terbaik.

"Bagaimanapun, pasangan regu Sara bersama Bongbong Marcos mungkin akan menjadi asas politik yang kuat untuk meraih sokongan di utara negara itu," jelasnya merujuk kepada keputusan kaji selidik, Pulse Asia pada bulan lalu yang menunjukkan anak kepada bekas Presiden Ferdinand Marcos itu berada di tangga lima teratas sebagai calon berpotensi.

Pada Sabtu, media tempatan melaporkan Duterte menamakan Sara-Go sebagai calon Presiden dan Naib Presiden, namun anaknya belum membuat sebarang pengesahan.

Sara yang turut menerima tawaran beberapa ahli politik lain untuk bertanding bersamanya pada tahun depan menyatakan beliau tidak akan merebut jawatan peringkat tertinggi seperti yang telah dipersetujui bersama bapanya. - Agensi