AFA rancang siasat ‘limpahan penonton’

Sebahagian penyokong River Plate yang hadir ke stadium menyaksikan perlawanan berkenaan. - Foto Reuters
Sebahagian penyokong River Plate yang hadir ke stadium menyaksikan perlawanan berkenaan. - Foto Reuters
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Argentina (AFA) merancang untuk menyiasat berhubung ‘limpahan’ kehadiran penonton bagi menyaksikan aksi derby antara River Plate dan Boca Juniors di Stadium Monumental pada Ahad.

Menurut satu kenyataan, ‘limpahan’ penonton pada perlawanan berkenaan dilihat bertentangan dengan peraturan memberikan kebenaran penonton hadir ke stadium berikutan situasi pandemik Covid-19 di negara berkenaan.

“Setakat ini, kami turut menahan beberapa individu yang didapati menjual tiket-tiket palsu kepada penonton bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak berkuasa berhubung perkara berkenaan khususnya dalam mengenal pasti jumlah sebenar penonton yang hadir ke stadium bagi menyaksikan perlawanan berkenaan.

“Bagaimanapun, berdasarkan kepada imej kehadiran penonton yang ramai dapat disaksikan menerusi televisyen dan ia menimbulkan persepsi bahawa berlakunya ‘limpahan’ penonton pada perlawanan berkenaan,” menurut kenyataan media itu lagi.

Untuk rekod, penonton diberikan kebenaran untuk hadir ke stadium-stadium di seluruh Argentina mulai Jumaat lalu setelah 18 bulan tidak berbuat demikian berikutan penularan wabak Covid-19 di negara berkenaan.

Bagaimanapun, kebenaran berkenaan hanya diberikan kepada penonton yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dose suntikan vaksin dan jumlah maksimm yang dibenarkan adalah 50 peratus daripada keluasan sebenar stadium berkenaan.

Berdasarkan laporan akhbar tempatan, La Nacion, seramai 54,000 hingga 57,600 penonton hadir bagi menyaksikan perlawanan berkenaan manakala akhbar Ole menjangkakan 52,000 hingga 53,000 penonton berbanding kapasiti Stadium Monumental yang mampu memuatkan 76,000 penonton.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan berkenaan, River Plate menewaskan Boca Juniors 2-1 yang beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanannya, Marcos Rojo dilayangkan kad merah pada minit ke-16.

Kemenangan berkenaan sekali gus mengukuhkan kedudukan River Plate selaku peneraju Liga Primera Argentina dengan 30 mata manakala Boca Juniors berada pada kedudukan kesembilan dengan 21 mata.

Sementara itu, difahamkan AFA masih belum menerima sebarang respon daripada pihak River Plate berhubung ‘limpahan’ penonton pada perlawanan berkenaan.