'Sukan harus bebas unsur perkauman'

Prabakaran menyifatkan sukan seharusnya menjadi satu wadah yang bebas daripada unsur perkauman.
Prabakaran menyifatkan sukan seharusnya menjadi satu wadah yang bebas daripada unsur perkauman.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, P Prabakaran menyelar mana-mana pihak yang sengaja menggunakan modal perkauman dalam meraih mata politik.

Menurutnya, masyarakat perlu berganjak daripada isu perkauman untuk membawa Malaysia pada satu aras yang lebih tinggi dan bersifat progresif.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas hantaran berbaur perkauman di Facebook Naib Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pasir Puteh, Borhanuddin Che Rahim terhadap pemain perseorangan wanita negara, S Kisona selepas beliau tewas di tangan pemain Jepun pada aksi separuh akhir Piala Sudirman di Finland pada Sabtu.

“Walaupun Borhanuddin sudah mohon maaf dan meletakkan jawatan disebabkan kontroversi tersebut, namun isu perkauman dilihat sengaja dimainkan sesetengah pihak bagi meraih mata politik.

“Parti yang berada dalam kerajaan hari ini juga tidak menghormati konsep Keluarga Malaysia yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kes ini bukan pertama kali terjadi malah sudah kerap dimainkan oleh pemain-pemain politik negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Prabakaran berkata, sukan seharusnya menjadi satu wadah yang bebas daripada unsur perkauman.

“Kita patut keluar daripada isu ini dan mula mencari titik persamaan dalam membangunkan negara ke arah yang lebih baik kerana pada akhirnya Malaysia milik semua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:BAM kutuk komen rasis terhadap pemain negara

ARTIKEL BERKAITAN:KBS kecam komen perkauman terhadap atlet badminton