Gabion mampu kurangkan risiko banjir

Fort Ping (kiri) ketika melihat kerja-kerja pemasangan gabion di Sungai Ulu Duyong.
Fort Ping (kiri) ketika melihat kerja-kerja pemasangan gabion di Sungai Ulu Duyong.
A
A
A

JASIN - Kerajaan negeri akan memasang gabion atau batu sangkar di Sungai Ulu Duyong, Kampung Ayer Panas di sini, bagi mengatasi masalah banjir.

ADUN Bemban, Datuk Dr Wong Fort Ping berkata, kerja-kerja pemasangan tersebut telah dijalankan sejak Februari lalu dan dijangka siap dalam tempoh enam minggu.

Menurutnya, sejumlah RM127,555 dibelanjakan untuk melaksanakan projek sepanjang 50 meter itu.

"Kita fokus kepada kawasan-kawasan yang rendah terlebih dahulu.

"Di kampung ini misalnya, kawasannya mudah dilanda banjir walaupun hujan tidak lebat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau kerja-kerja pemasangan Gabion di Sungai Ulu Duyong.

Hadir sama, wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ayer Panas, Ahmad Kasim, Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Rabiah Isnin dan bahagian teknikal JPS, Azman Yusof.

Bagaimanapun, katanya, pemasangan gabion bukan jaminan untuk elak banjir 100 peratus di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan memberi tumpuan pada kerja-kerja pendalaman beberapa sungai di kawasan Bemban.

"Kerja-kerja mengorek sungai ini akan dijalankan secara berperingkat bagi memastikan sungai tidak cetek dan menyebabkan limpahan air yang boleh mengakibatkan banjir di kawasan sekitar," katanya.

Justeru itu, Fort Pin berharap inisiatif tersebut dapat mengurangkan beban yang ditanggung penduduk selama ini.

"Saya jangka tidak sampai 10 rumah penduduk di sini tapi mereka juga terkesan apabila banjir.

"Sebab itu saya sangat berharap projek ini dapat mengurangkan risiko banjir di DUN ini," katanya.