Zahid dakwa lebih ramai ahli Bersatu kembali ke pangkuan UMNO

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa lebih ramai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan kembali semula menyertai parti terbesar Melayu tersebut.

Ahmad Zahid sehubungan itu berkata, UMNO bersedia memperhalusi setiap permohonan individu yang ingin kembali semula termasuk mereka yang sebelum ini dikenakan tindakan tatatertib.

"Difahamkan, ramai lagi pimpinan Bersatu merisik peluang kembali ke pangkuan UMNO. Insya-ALLAH kita perhalusi setiap permohonan dengan berlapang dada dan jiwa yang besar.

"Beberapa hari lalu, bekas Ketua Bersatu Putrajaya bersama lebih 120 ahli parti serpihan kembali menyertai UMNO.

"Sebelum itu juga ada pimpinan Bersatu telah pun terlebih dahulu meninggalkan parti tersebut bagi menyertai semula parti terbesar bangsa Melayu (UMNO)," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

Pada Jumaat, seramai 120 ahli Bersatu Bahagian Putrajaya keluar daripada parti tersebut dan kembali menyertai UMNO.

Bekas Ketua Bersatu Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Erwan Mohd Tahir berkata, selain beliau sendiri, antara mereka yang meninggalkan parti ialah kepimpinan tertinggi bahagian termasuk Naib Ketua dan Setiausaha bahagian.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, malah ahli biasa mana-mana parti turut dijemput untuk menyertai semula UMNO bagi menggembleng segenap kekuatan untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

"Selagi kepulangan mereka kepada UMNO dengan hati nurani yang ikhlas beserta roh dan semangat untuk perjuangan UMNO yang mulia.

"Jangan samakan perkembangan itu dengan perbuatan curang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya yang jelas merupakan penipuan kepada rakyat.

"Dengan izin dan inayah ALLAH, Insya-ALLAH UMNO akan bangkit dan gemilang pada PRU-15," katanya.