Sesi sekolah bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi

Radzi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar semasa melakukan tinjauan sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman hari ini. - Foto Bernama
Radzi (kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar semasa melakukan tinjauan sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah pada Ahad, selepas kira-kira enam bulan sekolah di seluruh negara ditutup berikutan penularan Covid-19.

Di Terengganu yang berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Langkawi di bawah gelembung pelancongan dengan mengikut ketetapan Fasa Empat PPN, pembukaan sekolah di kedua-dua lokasi itu melibatkan masing-masing 35,438 dan 2,159 pelajar dan murid.

Ini termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Murid Berkeperluan Khas (MBK) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah.

Sementara di Kelantan yang berada di Fasa Dua PPN, hanya calon STPM semester dua, MBK di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan murid PPKI yang akan hadir ke sekolah.

Isnin pula, sesi persekolahan secara bersemuka akan bermula di Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan dengan kehadiran pelajar mengikut Fasa PPN negeri masing-masing.

Pengoperasian semula sekolah di Langkawi melibatkan 25 sekolah rendah dengan 853 murid termasuk enam sekolah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta 19 prasekolah di sekolah berkenaan.

Baki 13 sekolah menengah dengan 1,306 pelajar di pulau itu yang dibuka pada Ahad, juga termasuk lima sekolah bagi PPKI (140 pelajar), dua sekolah untuk Tingkatan Enam Semester Dua (138 pelajar) dan enam sekolah dengan sistem penggiliran untuk Tingkatan Lima melibatkan 1,028 pelajar.

Pembukaan semula sekolah di Terengganu pula melibatkan 17,193 calon SPM, 4,873 calon STPM dengan 2,166 daripadanya pelajar Semester Dua dan 2,707 lagi pelajar Semester Satu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seramai 2,566 MBK atau PPKI dan 10,806 murid prasekolah turut terlibat dengan pengoperasian semula sekolah di negeri tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sempat melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, pagi Ahad bagi meninjau perjalanan hari pertama persekolahan diiringi Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani.

Tinjauan Bernama di sekolah yang mula beroperasi di beberapa negeri pada Ahad mendapati aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh warga sekolah, pelajar dan ibu bapa di tahap memuaskan.

Antara SOP digariskan bagi pengoperasian semula sekolah termasuk merekodkan bacaan suhu badan dan kehadiran, penggunaan cecair pembasmi kuman, label anak panah bagi menandakan pergerakan keluar masuk dalam kawasan sekolah serta susun atur kerusi meja untuk memastikan penjarakan fizikal.

Malah, pelajar yang tinggal di asrama penuh dan harian juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mengelak penularan wabak itu di sekolah.

Tinjauan Bernama di Kolej Vokasional Butterworth, Pulau Pinang mendapati pelajar kolej itu yang pulang ke asrama perlu menjalani ujian saringan menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 ketika dihantar ibu bapa dari luar kawasan kolej, dan sekiranya dikesan positif pelajar diarahkan pulang untuk menjalani kuarantin.

Rata-rata pelajar dan ibu bapa yang ditemui menzahirkan kegembiraan dapat kembali bersekolah secara bersemuka bermula Isnin dan berpuas hati dengan pelaksanaan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Kebanyakan pelajar yang ditemui ketika tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti di Kota Bharu, Kelantan memaklumkan, mereka lebih yakin untuk kembali ke sekolah pada Ahad memandangkan kebanyakan mereka telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19. - Bernama