X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

PRU15: PBRS tanding kerusi dimenangi komponen BN

Arthur menerima borang keahlian daripada Jake yang menyertai PBRS bagi Parlimen Keningau.
A
A

KENINGAU - Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) kekal berpegang kepada prinsip sebagai salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada kerusi atau kuota yang dimenangi parti itu sebelum ini.

Timbalan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bergantung daripada keputusan kepimpinan Pusat.

"Kalau kita ikut perkembangan, kita belum tahu yang paling terkini berhubung pembahagian kerusi antara komponen-komponen yang membentuk kerajaan sekarang.

"Tetapi pada prinsipnya, BN telah menyatakan bahawa semua kuota dan kerusi BN yang ditandingi dulu akan ditandingi semula, jadi setakat ini kita masih berpegang kepada prinsip itu," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada PBRS akan meletakkan calon di Parlimen Keningau atau sebaliknya.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, PBRS kini sedang mempersiapkan jentera parti di bahagian yang akan tumpuan.

"Kita lihat parti-parti lain pun mereka sedang bergerak untuk membuat tuntutan atas pelbagai kerusi, jadi kita pun akan menggerakkan jentera di bahagian-bahagian yang kita akan beri tumpuan.

"Jadi pengumuman secara spesifik akan kita buat apabila sampai masanya," katanya.

Dalam pada itu, Arthur turut memaklumkan kemasukan lebih 2,500 ahli bagi kawasan Parlimen Keningau untuk menyertai PBRS.

"Saya mengalu-alukan kemasukan Datuk Jake Nointin sebagai ahli PBRS di kawasan Parlimen Keningau bersama pengikutnya iaitu seramai 2,519 orang ahli yang menyertai PBRS. Selepas ini, PBRS akan bergerak lebih aktif di kawasan Keningau," katanya.

Jake yang juga bekas Ketua Bahagian Keningau Parti Warisan Sabah (Warisan) memaklumkan, telah menyerahkan borang keahlian beliau untuk menyertai PBRS.

Beliau berkata, keputusan untuk menyertai PBRS diambil selepas tertarik dengan kepimpinan parti tempatan yang diterajui Arthur.

"Kami mengambil keputusan untuk menyertai PBRS, parti tempatan yang dipimpin oleh pemimpin muda yang mempunyai integriti dan kredibiliti yang tinggi serta telah membuktikan keprihatinannya kepada kepentingan rakyat Sabah khususnya di pedalaman selain banyak pembangunan dibuat di kawasan beliau.

"Jadi saya berterima kasih kepada beliau dan PBRS kerana membuatkan kami selesa dalam parti ini. Setelah kami menyerahkan borang keahlian ini, harapan kami adalah dapat menyumbang sedikit sebanyak untuk memperkasakan perjuangan PBRS khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Sebelum ini, beliau dipecat daripada Warisan selepas bertindak bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lalu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!