X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Chong Wei tabik karakter melawan pemain muda negara

Pearly dan Thinaah disifatkan boleh pergi lebih jauh pada masa depan. - Foto Badminton Photo
A
A

PEMAIN skuad Piala Sudirman negara digesa meneruskan momentum luar biasa selepas mengejut Indonesia, 3-2 dalam aksi suku akhir di Energia Arena, Vantaa, Finland awal pagi tadi.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, kemenangan ke atas Indonesia merupakan yang pertama terhadap seteru utama sukan badminton negara tersebut adalah hasil semangat juang tinggi dalam kalangan pemain muda Malaysia.

“Tahniah kepada semua pemain-pemain yang tidak mengecewakan biarpun ranking lawan masing-masing adalah tinggi.

“Lee Zii Jia, Aaron Chia dan Soh Wooi Aik memang 'power'. Tak terkejar 'minions' (Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo).

“Sementara Zii Jia pula tidak memberi peluang langsung kepada Anthony Ginting lawan yang tidak pernah ditewaskannya. Syabas!

“S Kisona pula hampir menewaskan Mariska biarpun lawan di kedudukan 30 teratas mengatasi Kisona. Selamat Hari Lahir Kisona, satu Malaysia menyambutnya untuk anda,” kata bekas pemain berusia 39 tahun tersebut di laman sosial medianya.

Pada masa sama Chong Wei menyifatkan pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M Thinaah mempunyai masa depan cerah dalam sukan tersebut berdasarkan prestasi semasa di kejuaraan tersebut.

“Perlawanan keempat menentang juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, ingatkan senang-senang kalah sebaliknya tidak apabila Pearly Tan dan M Thinaah hampir mengalahkan beregu emas Indonesia.

“Chong Wei suka tengok Pearly dan Thinaah yang selalu senyum dan berkomunikasi dalam gelanggang - pasangan ini akan pergi jauh, percayalah,” ujarnya.

Sementara itu, Chong Wei turut memuji kemantapan gandingan beregu campuran Hoo Pang Ron dan Cheah Yee Seen yang membawa cabaran negara untuk perlawanan terakhir tersebut.

“Akhir sekali, lawan beregu campuran ranking nombor empat dunia. Ramai tak kenal pun beregu campuran Malaysia, Cheah Yee See dan Hoo Pang Ron, tapi mereka menunjukkan bahawa Malaysia tidak lemah dan tidak akan kalah sewenang-wenangnya.

“Bagai dirasuk Harimau Malaya, dua pemain muda Malaysia ini menghadiahkan kemenangan ajaib untuk negara tersayang. Terharu juga apabila mata terakhir dikenalpastikan oleh mata helang.

“Tahniah team! Rehatlah! Sudah tapau ayam penyet, malam ini kita kasi tapau Bento! #malaysiaboleh #DemiMalaysia,” ujar Chong Wei di Facebook pada Sabtu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!