Nexagaten sedia jadi jenama terkemuka keselamatan siber APAC

No Image Caption
A
A
A

SYARIKAT keselamatan siber Malaysia, Nexagate Sdn Bhd bersedia untuk menjadi jenama terkenal dalam bidang keselamatan siber di rantau Asia Pasifik (APAC) menjelang 2027.

Ketua Pegawai Pertumbuhan Tuan Faisal Azmy berkata, Nexagate telah mengubah fokusnya untuk berkembang ke rantau ASEAN semasa pandemik Covid-19 dan kemudiannya mencatatkan momentum dengan peningkatan jualan sebanyak 250 peratus pada tahun lepas.

“Syarikat ini telah mencapai sasarannya pada Ogos 2021 dan berada di landasan untuk merekodkan perolehan dua kali ganda berbanding 2020.

“Oleh itu, inilah masa yang sesuai untuk mempertimbangkan pelaksanaan momentum ke arah menjadi jenama terkenal dalam keselamatan siber di APAC,” katanya kepada Bernama pada Jumaat. Kata beliau, akhir-akhir ini berita mengenai jenayah siber telah menjadi kebiasaan akibat pandemik dan serangan terhadap organisasi di seluruh sektor baru-baru ini telah menekankan kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam isu ini.

“Akhir-akhir ini, peningkatan serangan siber, terutamanya perisian hasad boleh menjejaskan jenama organisasi, sekali gus memerlukan pengurusan insiden yang efektif dan penilaian kompromi agar ia dapat diselesaikan segera.

“Ia berlaku di Malaysia dan organisasi di semua rantau APAC,” katanya.

Tuan Faisal memberitahu, realisasi ini telah mengubah fokus kepimpinan Nexagate untuk memainkan peranan lebih penting dalam memberi perkhidmatan ke pasaran lebih luas menerusi kepakaran keselamatan sibernya, berpandukan hala tuju transformasi jenama.

Menurut beliau, kunci kepada pertumbuhan Nexagate adalah membuka kebolehskalaan perkhidmatan dengan beralih daripada syarikat perkhidmatan penuh kepada platform berpusat keselamatan siber sebagai penyedia perkhidmatan yang mempunyai capaian global.

Artikel Berkaitan:

Jelas Tuan Faisal, pertumbuhan di APAC akan dipacu Nexa Security Intel yang digambarkan bakal menjadi aplikasi keselamatan siber yang lebih baik menjelang 2023, disokong asas kukuh selama 10 tahun dalam perkhidmatan keselamatan siber.

"Kesediaan maya penyampaian perkhidmatan lain seperti perundingan Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS) ISO 27001: 2013, yang secara tradisinya merupakan penglibatan yang membabitkan banyak dokumen, bersemuka, turut menjadi kunci pertumbuhan," katanya.

Pada Januari tahun ini, Tuan Faisal menjelaskan Nexagate mula memberikan opsyen untuk menyampaikan perkhidmatan perundingan ISMS secara maya dengan memanfaatkan Nexa Security Intel, satu penyelesaian yang akan mempermudah keselamatan siber bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mewujudkan proses keselamatan terbaik dengan perlindungan segera dan amaran potensi kelemahan dalam rangkaian termasuk alat komunikasi maya mereka.

"Pada Ogos 2021, Nexagate mendapat pelanggan pertamanya di Indonesia bagi ISMS Fintech Maya, menandakan bahawa pasaran ASEAN dan seterusnya bersedia untuk menerima transformasi digital.

"Mempunyai rakan teknologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa juga akan membolehkan Nexagate memperluaskan perkhidmatannya ke arah keperluan teknologi maklumat sedia ada selain meneroka pasaran baharu yang muncul seperti penjagaan kesihatan dan pembuatan, yang mana transformasi digital segmen ini didorong fokus ke arah Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.

Menurut Tuan Faisal, Nexagate kini sedang dalam proses menjayakan perkongsian dengan peneraju antarabangsa yang membolehkan Nexagate memendekkan Ujian Penetrasi Aplikasi Webnya, sekali gus berupaya menyampaikan perkhidmatan daripada lima hari kepada dua hari melalui automasi.

Selain itu, ia masih menawarkan pakej yang berpatutan kepada pelanggan melalui Program Perkhidmatan Keselamatan Terurus.

"Ini menunjukkan Nexagate sentiasa menjalankan usaha untuk menerapkan perubahan dalam meningkatkan serta mengembangkan nilai terhadap pihak berkepentingan dan pelanggannya. Anggota pasukan kami adalah pusat pertumbuhan, masing-masing memberikan nilai kepada ekosistem kepercayaan Nexagate.

"Seiring dengan pertumbuhan syarikat, pelanggan dan rakan kongsi kami akan turut berkembang dan ini akan menjadi kunci utama untuk kami menjadi rakan keselamatan siber yang paling dipercayai di rantau APAC menjelang 2027," katanya. -Bernama