Pelajar jalani PdPR dekat sawah padi

Nur Syamira Awatif (kiri) mengikuti kelas PdPR bersama rakan- rakannya di kawasan sawah padi di Kampung Raja di sini.
Nur Syamira Awatif (kiri) mengikuti kelas PdPR bersama rakan- rakannya di kawasan sawah padi di Kampung Raja di sini.
A
A
A

KUBANG PASU - Pelajar-pelajar dari tiga kampung dalam mukim Jeram di sini terpaksa menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian dekat kawasan sawah padi kerana tidak mendapat capaian internet di rumah mereka.

Kampung yang terlibat adalah Kampung Raja, Kampung Baru dan Kampung Pulau Timbul yang mengalami masalah berkenaan sejak setahun lalu.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior, Nur Syamira Awatif Shohaizi,19, berkata, dia dan rakan-rakan akan berkumpul setiap pagi di kawasan sawah terbabit untuk mengikuti kelas dalam talian.

Katanya, kawasan rumahnya tidak mempunyai capaian internet yang baik sehingga mengganggu proses pembelajaran.

"Kalau di rumah nak buka kerja yang cikgu beri pun tak boleh, cuma boleh buka aplikasi WhatsApp sahaja, itu pun akan ambil masa seminit juga untuk hantar mesej," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Menurutnya, selain kawasan sawah padi terbabit, terdapat dua lagi lokasi yang mempunyai capaian internet yang baik.

"Ada tiga tempat sahaja yang dapat internet, dekat sawah ini, hadapan kedai runcit dan simpang masuk ke Kampung Raja. Tetapi, kami selalu duduk sini (sawah) sebab tak ganggu laluan orang dan lebih tenang," katanya.

Seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Mohammad Amirul Misraz, 11, berkata, dia bersama rakan-rakanya mula berkumpul di kawasan terbabit sejak pelaksanaan PdPR yang lalu.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kali ada kelas dan memerlukan kami buka apa-apa kerja dalam talian yang cikgu bagi, kami akan datang ke sini.

"Dekat sini ada juga capaian internet, kalau di rumah memang tak ada, susah nak belajar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Komuniti Kampung Raja, Shohaizi Shaari berkata, masalah itu bukan sahaja melibatkan capaian internet, malah talian telefon bimbit turut terganggu.

"Sebelum ini masalah terbabit masih terkawal namun sejak kerajaan memperkenalkan kelas secara dalam talian, kita lihat ia semakin kritikal sehingga pelajar terpaksa keluar untuk cari capaian internet," katanya.

Menurutnya, capaian yang baik di kawasan sawah berkenaan kemungkinan kerana sokongan daripada pencawang terdekat di Sekolah Kebangsaan Telok Malek, Jitra.

"Kita harap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana internet adalah satu keperluan pada zaman sekarang.

" Bukan sahaja untuk pelajar, malah sebarang urusan pejabat juga banyak dilakukan secara dalam talian dan ini akan menyukarkan penduduk di kawasan ini," katanya.