[VIDEO] Lokman Adam didakwa sebar berita palsu mengenai vaksin, Covid-19

Lokman (depan, kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadapi dua pertuduhan menyebarkan berita palsu, beberapa bulan lalu.
Lokman (depan, kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat bagi menghadapi dua pertuduhan menyebarkan berita palsu, beberapa bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menyebarkan berita palsu di laman Facebook (FB) berhubung kemasukan warga India menyebar virus Covid-19 dan kematian seorang pegawai polis akibat vaksin di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Lokman, 48, yang hadir di mahkamah dengan memakai sut biru gelap, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, menyebarkan berita tidak benar menggunakan perkhidmatan aplikasi FB menggunakan profil 'Lokman Adam'.

Ia menerusi rakaman audio visual berhubung dakwaan warga India memasuki negara menerusi penerbangan dari Bangalore, India sebagai penyebab penyebaran virus Covid-19 dan isu kematian seorang Pegawai Polis, Asisten Komisioner (ACP) Shahriman yang merupakan Ketua Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia di Pahang, telah meninggal dunia beberapa saat selepas suntikan kedua vaksin.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 9 April dan 3 Mei serta dilihat pada 11 April dan 9 Mei lalu, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Atas kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan dalam satu kesalahan berterusan boleh didenda tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan OKS diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan.

"Memandangkan Lembah Klang kini memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kemungkinan sempadan negara dibuka pada fasa seterusnya, pihak pendakwaan mencadangkan pasport OKS diserahkan kepada mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Logen Eskander yang mewakili OKS, merayu agar ikat jamin dikurangkan dengan alasan dia perlu menyara isteri dan 11 anaknya.

"Lokman tidak lagi bekerja dan sekarang membantu isterinya menjual sate, maka ini menunjukkan beliau tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri.

"Tiada sebab untuk mahkamah perlu menyimpan pasport sedangkan sempadan negara sempadan masih ditutup," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Edwin Paramjothy membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 November depan untuk sebutan semula kes.