Alangkah rugi bangunan bersejarah dibiar lenyap

Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.
Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.
A
A
A

SELAIN alam semula jadi, bangunan bersejarah juga merupakan produk pelancongan yang penting di Malaysia.

Sebab itulah Merak Jalanan faham apabila ramai yang membantah rancangan kerajaan negeri Perak untuk menjual tanah seluas dua hektar yang menempatkan bekas Istana Raja Muda di Teluk Intan.Walaupun bangunan berusia kira-kira 100 tahun itu uzur dan di dalamnya ditumbuhi belukar sehingga melepasi bumbung, masih ramai yang mahu ia terus dipulihara sebagai ikon pelancongan untuk tatapan generasi akan datang.

Lagipun kata mereka, tak sedap betul bunyinya apabila sebuah istana diraja hendak dilelong.

Mengambil kira pelbagai kritikan, kerajaan Perak baru-baru ini menangguhkan pelaksanaan tender jualan istana lama itu yang sebelum ini dirancang untuk projek komersial dan bangunan bercampur.Kontroversi Istana Raja Muda adalah insiden terbaharu warisan bersejarah negara yang bakal lenyap jika tiada tindakan diambil. Banyak lagi bangunan dan tapak warisan lain yang sudah rosak teruk di negara ini.

Dalam isu di Teluk Intan itu, Merak Jalanan berpendapat kerajaan negeri masih boleh menukarkan peranan sebuah istana lama kepada sebuah institusi pendidikan selain muzium.

Istana Jemaah di Klang, Selangor misalnya, ditukar fungsinya dengan menempatkan Kolej Islam Malaya bermula tahun 1955. Sehingga hari ini, istana itu masih digunakan sebagai bangunan pentadbiran kolej tersebut yang kini dikenali sebagai Kolej Islam Sultan Alam Shah.

Bagaimanapun, untuk memulihara bangunan lama, kita tidak boleh mengharapkan pihak kerajaan semata-mata kerana kosnya sangat besar.

Merak Jalanan terfikir alangkah baiknya jika masyarakat setempat dapat sama-sama membersihkan dan menjaga seni bina lama di kawasan mereka. Individu, persatuan penduduk dan NGO boleh memainkan peranan di tempat masing-masing. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul.

Artikel Berkaitan: