65 kolam ternakan diancam pencemaran

Muhammad Arafat (kiri) bersama Abdul Aziz menunjukkan keadaan sungai yang dipenuhi pokok hasil tebangan syarikat kontraktor yang terlibat dalam perlombongan kaolin di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan.
Muhammad Arafat (kiri) bersama Abdul Aziz menunjukkan keadaan sungai yang dipenuhi pokok hasil tebangan syarikat kontraktor yang terlibat dalam perlombongan kaolin di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 65 kolam ternakan ikan air tawar di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan, di sini diancam pencemaran kesan projek perlombongan kaolin yang didakwa diusahakan secara haram sejak sebulan lalu.

Pengerusi Usahawan Agro Kampung Kolam, Abdul Aziz Abdul Manap berkata, kerja-kerja perlombongan itu telah mengakibatkan air sungai yang menjadi saluran utama ke dalam kolam ternakan berubah menjadi keruh.

Menurutnya, tindakan syarikat kontraktor yang menebang pokok-pokok besar untuk dijadikan laluan jentera berat juga menyebabkan sungai dipenuhi dengan timbunan batang dan dahan pokok.

"Kami amat kecewa dengan pembangunan yang dijalankan di sini, nak kata dapat kelulusan, tidak pula ia dijalankan mengikut prosedur yang betul.

"Sekarang secara jelas projek ini telah mengganggu ekosistem sedia ada, lihatlah air sungai dipenuhi pasir dan bertukar menjadi keruh. Paling tidak dapat diterima apabila pokok besar pun boleh ada dalam sungai.

"Kita bimbang jika terus dibiarkan, ikan-ikan diusahakan akan mati, sedangkan itulah punca pendapatan utama penduduk di sini," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Kolam ternakan ikan air tawar yang diusahakan penduduk Kampung Kolam, Tanjung Rambutan dikhuatiri diancam pencemaran. (Gambar kecil, Abdul Aziz)
Kolam ternakan ikan air tawar yang diusahakan penduduk Kampung Kolam, Tanjung Rambutan dikhuatiri diancam pencemaran. (Gambar kecil, Abdul Aziz)

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Kolam berkata, perusahaan ternakan ikan air tawar di kawasan seluas hampir 20 hektar itu mendapat pengiktirafan Jabatan Perikanan sebagai antara yang terbaik di Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat 15 pengusaha terlibat secara aktif sejak tiga tahun lalu menerusi pelbagai jenis ternakan ikan air tawar termasuklah tilapia merah, tilapia hitam, baung, patin, jelawat, rohu dan tongsan.

"Memang jabatan dah iktiraf kita antara terbaik kerana kita mempunyai sumber air bersih dan guna kaedah yang sistematik walaupun tanpa harapkan bantuan kerajaan.

"Contoh, dam yang kami gunakan untuk salurkan air ke kolam, dam ini kami usahakan menggunakan modal sendiri, kerana itu apabila adanya projek yang cemarkan ekosistem sungai, kami jadi sangat kecewa dan marah," katanya

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Muhamad berkata, tinjauan dilakukan mendapati, tidak ada apa-apa papan tanda maklumat yang memaklumkan wujudnya aktiviti perlombongan kaolin di kawasan itu.

Justeru, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Menteri Besar Perak dan jabatan terlibat sama ada aktiviti perlombongan di situ mendapat kelulusan atau sebaliknya.

"Jika tiada kelulusan, maka kita mohon diambil tindakan tegas, kita ada bukti gambar-gambar kehadiran jentera yang digunakan untuk projek cari gali di sini.

"Sekiranya mendapat kelulusan, kemungkinan besar timbul kekeliruan kerana ia dilaksanakan tanpa menepati prosedur yang betul dan telah mengundang risiko pencemaran sungai sedia ada," katanya.

Muhammad Arafat menunjukkan satu lokasi cari gali bagi tujuan perlombongan kaolin di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan.
Muhammad Arafat menunjukkan satu lokasi cari gali bagi tujuan perlombongan kaolin di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, semakan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada kawasan dimaksudkan berada di bawah bidang kuasa jabatan atau Pejabat Tanah, sebelum tindakan lanjut diambil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul pula memaklumkan telah mengarahkan siasatan segera dilakukan di kawasan itu.

"Berdasarkan input aduan yang diterima, pencemaran sungai itu daripada aktiviti perlombongan kaolin. Oleh itu, JAS akan merujuk kepada JMG untuk tindakan lanjut," katanya.