Darulaman Lagenda tawar rumah mampu milik di Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Perbandaran mampu milik Darulaman Lagenda seluas kira-kira 93 hektar akan dibangunkan BDB Lagenda Sdn Bhd (BDB Lagenda) iaitu syarikat usaha sama di antara BDB Land Sdn Bhd (BDB Land) dan LPB Development Sdn Bhd dengan nilai keseluruhan pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM550 juta.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad, Faris Najhan Hashim berkata, fasa pertama permulaan projek akan melibatkan pembangunan seluas 11 hektar dengan penyediaan sebanyak 282 unit rumah setingkat mampu milik.
Menurutnya, ia akan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM57.60 juta dengan anggaran harga jualan antara RM180,000 hingga RM250,000.
"Pendaftaran bagi fasa pertama akan bermula pada November ini dengan jangkaan bagi kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada suku kedua tahun 2022 yang akan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.