MPSepang susun semula penjaja di Pantai Bagan Lalang

Penjaja di Pantai Bagan Lalang disusun semula susulan pembukaan sektor riadah dan rekreasi. (Gambar kecil, Abd Hamid)
Penjaja di Pantai Bagan Lalang disusun semula susulan pembukaan sektor riadah dan rekreasi. (Gambar kecil, Abd Hamid)
A
A
A

SEPANG - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) membuat penyusunan semula penjaja di Pantai Bagan Lalang, di sini susulan pembukaan sektor riadah dan rekreasi di Selangor.

Yang Dipertuanya, Datuk Abd Hamid Hussain berkata, bilangan penjaja yang ditempatkan untuk beroperasi di pantai berkenaan adalah berjumlah 25 hingga 30 orang bagi satu masa.

Beliau berkata, mana-mana penjaja yang belum divaksin lengkap atau tidak menyediakan imbasan kod QR dan gagal mengambil suntikan thyphoid akan diarahkan untuk menghentikan operasi di tapak berkenaan.

"Pemantauan penjaja di kawasan berkenaan telah dilakukan pada 11, 12, 16, 18, 19 dan 25 September lalu bagi menyusun semula semua peniaga-peniaga ini," katanya ketika berucap sewaktu Mesyuarat Penuh MPSepang yang berlangsung, pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Abd Hamid berkata, penjaja dan peniaga di kawasan pentadbiran MPSepang juga disaran untuk membuat pembaharuan lesen perniagaan yang akan dibuka bermula pada Jumaat (esok).

Katanya, pihak terlibat boleh membuat pembayaran di Pejabat Utama MPSepang, pejabat-pejabat cawangan dan menerusi pautan i-lesen@mpsepang.gov.my.

"Manakala pembaharuan lesen menerusi pautan http://ekl.mpsepang.gov.my/sso pula boleh dibuat bermula 22 Oktober," katanya.

Mengulas mengenai perkembangan MPSepang, Abd Hamid memaklumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Krew Inovasi Sepang Selangor (KISS) Playu 2.0 dan Krew Inovasi Sepang Selangor 2.0 - GF Supermask telah menerima penganugerahan Gold Medal bagi Regional Innovation Showcase Team Excellence (RISTEX) 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kemenangan itu sekali gus melayakkan pasukan berkenaan ke Annual Productivity Innovation Showcase (Arise) 2021 yang akan berlangsung pada 15-18 November ini.