Kerajaan, CIDB pantau harga bahan binaan elakkan kenaikan

Antara langkah yang diambil termasuk menguat kuasakan pekeliling baharu, iaitu PK2.4 Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga mulai 1 Januari hingga 30 Disember ini.(Gambar fail) - Foto Awani
Antara langkah yang diambil termasuk menguat kuasakan pekeliling baharu, iaitu PK2.4 Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga mulai 1 Januari hingga 30 Disember ini.(Gambar fail) - Foto Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) sentiasa memantau harga bahan binaan bagi mengelakkan kenaikan, sekali gus mengurangkan beban kepada kontraktor kecil.

Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, antara langkah yang diambil termasuk menguat kuasakan pekeliling baharu, iaitu PK2.4 Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga mulai 1 Januari hingga 30 Disember ini.

Jelas beliau, pekeliling baharu itu termasuk meliputi harga barangan bagi kerja-kerja binaan seperti kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrikal.

"Aktiviti pemantau telah dilaksanakan sejak tahun 2002, dan dengan itu saya mengharapkan dapat membantu para kontraktor untuk membuat perbandingan harga.

"Insya-Allah kita akan terus memantau memastikan bahawa harga barang ini akan dapat dikawal. Sejak pembukaan semula beberapa sektor ekonomi, kita dapat harga barang sudah agak stabil," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang mahu tahu apakah langkah yang diambil bagi menangani kos bahan binaan yang meningka akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengulas lanjut, Fadillah berkata CIDB juga telah menjalankan pemantauan harga binaan dan menerbitkannya melalui portal National Construction Cost Centre.

Katanya, harga barang binaan tersebut akan dikumpulkan dengan kerjasama beberapa persatuan berkaitan pembinaan dan perolehi daripada kontraktor.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sejak 18 Mac tahun lalu, industri pembinaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM42 bilion.

"Daripada jumlah tersebut, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 sehingga September 2021.

"Sementara bakinya RM24 bilion merupakan kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada 2020 yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan daripada Mac hingga Julai 2020," katanya. - Sumber Awani